Jumaat, 20 Mei 2011

Live is what you give

Seorang pensyarah berkata pada pelajarnya, "Live is what you give". Pelajar itu hairan lalu bertanya apayang dimaksudkan oleh pensyarah tersebut. Pensyarah itu meminta wang kertas 1 paun (matawang Mesir) lalu menconteng wang kertas tersebut dengan teruk sekali. Kemudian beliau memberi kembali wang kertas tersebut dan berkata, "Belanjakan wang ini. Telefon saya bila wang ini kembali kepada kamu".

Untuk membelanjakan wang yang telah diconteng adalah sukar. Setelah berfikir beberapa ketika, pelajar ini mendapat caranya.Pelajar tersebut membeli beberapa kilogram anggur berharga 8 paun di pasar berdekatan. Pelajar tersebut meletakkan wang kertas yang berconteng itu ditengah-tengah beberapa helai wang kertas lain (dalam erti kata lain, pelajar ini cuba menipu transaksi dengan menggunakan wang kertas yang tidak laku). Dan beliau berjaya membeli anggur tersebut kerana penjual itu tidak melihat dengan teliti wang kertas-wang kertas yang diterima.

Selepas beberapa ketika, pelajar ini terlupa kisah wang 1 paun tersebut. Beberapa bulan kemudian, pelajar tersebut ingin pergi ke kuliah menaiki teksi. Tambangnya 1.50 paun. Pelajar tersebut memberi 10 paun. Bila pemandu teksi tersebut memberi baki wang, pelajar tersebut dengan pantas mengambilnya dan bergegas ke kuliah. Bila pelajar tersebut melihat semula kepada wang baki, alangkah terperanjatnya pelajar tersebut kerana salah satu dari wang kertas yang diterima merupakan wang kertas yang telah diconteng olehnya beberapa bulan terdahulu.

Serta-merta pelajar tersebut teringat pesan pensyarahnya untuk menelefon beliau bila wang kertas tersebut kembali kepada pelajar tersebut. Pensyarah itu lantas berkata sekali lagi "live is what you give". Satu keburukan yang kita beri pasti akan kembali kepada kita semula.

Pada saya kisah ini sangat menarik. Kadang-kadang kita mengambil mudah dalam urusan seharian tanpa berfikir panjang. Kualiti kerja "asal boleh" dan pastinya penilaian "asal boleh" juga yang diterima.

Seorang anak suka mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah terhadap rakan-rakan sebaya dan gurunya. Bila si ayah bertanya, "Siapa ajar kamu berkata kesat dan lucah?". Si anak menjawab, "Ayahlah...". Sebenarnya si ayah suka mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah sewaktu memandu dan akhirnya si ayah menerima kembali kata-kata kesat tersebut dalam bentuk yang berbeza.

(Sebahagian kisah adalah olahan semula kisah dari radio IKIM)