Memaparkan catatan dengan label Cerita Lama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerita Lama. Papar semua catatan

Rabu, 11 Ogos 2010

Ramadhan dan kematian

Setiap kali menjelang Ramadhan saya akan terkenan kepada dua individu (yang agak rapat dengan saya) yang telah meninggal dunia semasa bulan Ramadhan.

Allahyarham Mahadhir

Beliau meninggal dunia pada 1 Ramadhan (tahun 2000). Beliau dan saya sama-sama belajar di ITM Perlis (Diploma in Accountancy (DIA) 1992-1995) dan menjadi "junior" saya semasa di ITM Shah Alam (B.Acc). Beliau seorang yang "happy go lucky" dan senang berkawan dengan beliau. Semasa saya belajar di UiTM Shah Alam di peringkat Ijazah Sarjana saya menerima berita kematian beliau.

Malam sebelum Ramadhan (tahun 2000), beliau makan bersama rakan-rakan lain (member-member lama semasa DIA). Selepas bersahur (1 Ramadhan) beliau bersiap-siap untuk solat subuh. Belum sempat bersolat beliau rebah. Akhirnya beliau menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibu beliau.

Allahyarham Hjh Norlela Jalen
Beliau merupakan isteri kepada abang ipar saya (biras saya). Semasa kami tinggal di Kuala Lumpur, beliau begitu mengambil berat tentang kami sekeluarga. Semasa Wardah melahirkan Eisya (anak pertama kami) beliau sibuk menyediakan mandian Wardah, menolong menguruskan Eisya yang baru dilahirkan hinggalah menanam uri. (Pada waktu itu saya begitu kekok dan tidak tahu menguruskan orang bersalin).

Begitu juga bila menjelang Aidilfitri, kuih tart dan chocolate chip buatan beliau adalah antara yang terbaik dan tersedap pernah saya makan.

Menjadi tradisi keluarga Wardah untuk menaja majlis berbuka puasa di masjid Sg. Nipah, Bagan Datoh pada minggu pertama Ramadhan setiap tahun. Dan pada tahun 2003 kesemua ahli keluarga pulang ke kampung dalam minggu pertama Ramadhan. Sehari selepas "more" tersebut pulang ke rumah masing-masing. Hari Isninnya kami mendapat berita beliau meninggal dunia ketika sibuk menyediakan juadah berbuka puasa. Beliau meninggal dunia kerana serangan jantung.

Saya masih ingat baju (jubah berseluar) kali terakhir sebelum beliau pulang ke Kuala Lumpur. Itulah kali pertama dan terakhir saya melihat beliau memakai pakaian tersebut. Malam sebelumnya beliau sibuk bercerita tentang persiapan menyamput Aidilfitrinya. Pada tahun itu, anak sulungnya sedang mengandungkan anak pertama. Secara berseloroh saya mengusik beliau dengan mengatakan nenek akan tolong jaga cucunya. Dengan bersahaja beliau menjawab,"Eh, tak kuasa orang nak jaga. Jaga le anak sendiri, apa pulak kita kena jaga. Kecik-kecik dah jaga dia (anak beliau), anak sendiri jaga le sendiri". Dan kata-kata itu menjadi kenyataan.

Allahyarham abang ipar saya (Hj Supuan Zaki) meninggal dunia sebulan kemudian (bulan Syawal tahun yang sama).

Kepada pembaca entri ini, marilah sama-sama kita sedekahkan bacaan Ummul Kitab buat mereka kedua.

AL-FATIHAH.

(Entri lama, tetapi amat signifikan)

Jumaat, 26 Jun 2009

6 Jun 2006 & Spontaneous Pneumothorax

Setiap kali bulan Jun saya akan ingat peristiwa ini. Peristiwa ini menyebabkan saya terpakaa menukar kereta kesayangan saya (Proton Isawara 1.3 M (merah)) dengan kereta Gen 2 (A) kerana kesukaran memandu kereta "manual" tanpa "power stearing". Berikut merupakan e-mel yang saya tulis kepada rakan-rakan saya pada 26 Jun 2006 untuk memaklumkan kepada mereka.





Assalamualaikum wbkth & Salam Sejahtera;

Saya mengalami batuk dan sukar bernafas selama lebih kurang 3-4 minggu dan doktor menasihatkan saya membuat pemeriksaan sinar x (x-ray). Saya membuat x-ray pada 06/06/06 pukul 9:00 pagi di klinik swasta dan doktor mengesahkan saya mengalami spontaneous pneumothorax dan saya diarahkan segera ke hospital. Saya terus ke unit kecemasan Hospital Batu Gajah dan doktor terus membuat pembedahan kecil memasukkan "chest tube" ke paru-paru sebelah kanan dan kemudian saya dihantar Hospital Besar Ipoh untuk rawatan lanjut.

Pneumothorax
ialah suatu keadaan di mana udara terperangkap diantara tulang rusuk dan paru-paru menyebabkan paru-paru mengecil. Di dalam kes saya paru-paru sebelah kanan saya megecil sehingga sebesar penumbuk (70% ruang paru-paru sebelah kanan dipenuhi udara).

Kaedah rawatan: memasukkan "chest tube" sebesar jari kelingking ke paru-paru sebelah kanan (dari rusuk bawah sebelah kanan hingga ke rusuk atas sebelah kanan (lebih kurang 1 kaki)) untuk mengeluarkan udara tersebut.
Chest tube ditanggalkan setelah tiada lagi gelembung udara dan apabila paru-paru mengembang sepenuhnya. Sepanjang chest tube tersebut berada di dalam badan pergerakan saya menjadi amat terbatas (dan menyakitkan) dan terpaksa tidur dalam keadaan separa duduk.

Alhamdulillah saya dibantu isteri saya, Wardah untuk makan, minum dan ke
bilik air. Bagaimana pneumothorax berlaku dan siapa yang boleh mengalaminya?

1) Biasanya apabila berlaku hentaman yang kuat ke arah paru-paru boleh menyebabkan pneumothorax (contohnya kemalangan/ kena pukul dengan ah long)


2) Orang yang mempunyai susuk tubuh yang kurus dan tinggi.


3) Perokok.


4) Orang yang menghidap athma atau batuk yang berpanjangan.


Simptom;

1) Sesak nafas dan cepat penat.


Bagaimana saya boleh menghidapinya? Saya pun tak pasti, mengikut kata doktor mungkin ini adalah kesan jangkamasa panjang akibat tabiat merokok saya yang lalu. (Saya merokok dari tahun 1990 -1999).


Saya dimasukkan ke wad dari 6/6 dan chest tube ditanggalkan pada 9/6 dan saya dibenarkan keluar pada 10/6. Hingga
hari ini luka dari kesan pembedahan tersebut masih belum sembuh sepenuhnya dan doktor menyarankan supaya saya tidak melakukan aktiviti lasak/ bersukan selama 2-3 bulan.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tn Hj Ab Razak (Ketua Koordinator Perakaunan pada waktu itu) yang begitu mengambil berat begitu juga rakan-rakan dan handai taulan yang sudi melawat saya dan yang mendoakan saya.


Semoga Allah menganugerahkan kesihatan yang baik buat kita semua....
Amin...

Sabtu, 23 Mei 2009

Ketentuan 3

Raihatul Wardah
Disaat saya dilanda masalah dan kesukaran, insan ini hadir memberi bantuan. Keikhlasan dan kejujurannya membuatkan saya tersentuh.


Raihatul Wardah (isteri saya sekarang) merupakan rakan sekolah saya tetapi kami tidak pernah berinteraksi, sekadar tahu kewujudan masing-masing di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI). Melalui rakan lain (Haliza , Umi dan Jamaliah) saya juga tahu bahawa Wardah mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di ITM Shah Alam semasa saya mengikuti program ADIA di tempat yang sama. Bagaimana saya bertemu dengannya?

Ketika saya menganggur, Sadique (rakan sekolah saya) mengajak saya untuk menghadiri majlis "4th batch Semestian 1st reunion " (Sekolah Menengah Sains Teluk Intan). Saya amat berat hati untuk turut serta (dalam keadaan baru diberhentikan kerja, saya rasa "tidak selesa" untuk bertemu rakan-rakan sekolah yang lain). Sadique sedaya upaya memujuk saya dan akhirnya saya bersetuju.

Majlis tersebut diadakan di Restoran Nelayan Tasik Titiwangsa. Di majlis itu saya bertemu dengan Wardah dan selepas dari itu saya kerap menghubunginya dengan alasan mencari pekerjaan. Walaupun saya tiada pekerjaan tetap, Wardah tetap terus "berkawan rapat" dengan saya dan memberi sokongan. Kelembutan dan ketertibannya (dari segi perlakuan mahupun ibadah) amat memikat hati saya.

Saya membuat keputusan untuk menjadikan Wardah "buah hati" saya (dengan pertolongan Lina) pada 5 Oktober 1999. Kami mengikat tali pertunangan pada bulan Mei 2000 dan mendirikan rumah tangga pada 2 September 2000.

Ketentuan 2

Karier sebagai Pensyarah
Selepas menamatkan pengajian di ITM Shah Alam, saya bekerja di MBf Finance sebagai Juru Audit Dalaman. Namun kegawatan ekonomi menyebabkan jodoh saya bersema MBf Finance bertahan hanya 1 tahun. Saya berhenti secara sukarela (Voluntary Separation Scheme (VSS)) dan menerima sejumlah pampasan (kalau tak silap lebih kurang RM6,000.00). Sebahagian besarnya saya laburkan dalam saham amanah (Unit Trust). Saya mencari pekerjaan namun agak hampa kerana kebanyakan syarikat menolak permohonan saya dengan alasan "you are too good to be here". Mereka takut saya lari jika saya mendapat tawaran yang lebih baik di masa hadapan walaupun say telah cuba meyakinkan mereka.

Pada masa yang sama, saya, Nije dan Shahriz menubuhkan perniagaan yang memberi khidmat perakaunan (WISE Management Services.). Malangnya kami ditipu apabila pelanggan kami enggan membayar perkhidmatan yang telah kami sempurnakan. Akhirnya, perniagaan tersebut terkubur begitu sahaja.

Saya menganggur lebih kurang 6 bulan. Dalam tempoh tersebut, tidak pernah saya meminta wang dari Mak (walau satu sen pun) kerana saya telah mula menabung sejak mula bekerja lagi (hampir 50% dari gaji pokok saya semasa bekerja di MBf Finance setiap bulan saya simpan). Kemudiannya saya memohon untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana dibawah Skim Tenaga Pengajar Muda (TPM) ITM. Saya mendapat tawaran tersebut (Ini merupakan kali kedua saya ditawarkan TPM, kali pertama ketika menuntut di ITM Shah Alam.)


Angie, Mr Barry, saya, Prem dan Anne semasa Annual Dinner YTL Power 1999

Pada masa yang sama saya diterima sebagai QA Assisstant di YTL Power Services Sdn Bhd. Kenapa saya menolak tawaran TPM tersebut? Kerana mahu mencari pengalaman bekerja di lapangan sebelum menjadi pensyarah dan ketika ini saya baru mengenali Raihatul Wardah (baru bercintalah katakan, kalau sambung pengajian saya takut akan terpisah dengannya).

Selepas kami merancang untuk berkahwin, saya memohon TPM ITM semula dan diterima. Konflik? Pada masa yang sama saya telah lulus peringkat ketiga Pegawai Tadbir Dplomatik(PTD) dan diminta untuk melaporkan diri ke INTAN di Kedah. Setelah berbincang dengan Wardah dan meminta nasihat Abang Teh dan Cho, saya mambuat keputusan untuk menjadi pensyarah ITM.

Jumaat, 22 Mei 2009

Ketentuan 1

Advance Diploma In Accountancy (ADIA)
Selepas menamatkan pengajian Diploma Perakaunan di ITM Arau (keputusannya tidak begitu baik, sekadar cukup syarat untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya) ,saya mempunyai beberapa pilihan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda. Antaranya ialah menyambung pengajian ke luar negara (United Kingdom).

Kebanyakan rakan-rakan rapat saya memilih untuk keluar negara. Pada waktu itu kesihatan Mak tidak menentu dan terdetak di hati saya untuk ber"hijrah", cuba keluar dari sikap saya yang terdahulu kerana saya percaya saya akan lebih berjaya. Saya memilih untuk menyambung pengajian di ITM Shah Alam di peringkat Advance Diploma In Accountancy. Mak agak kecewa dengan keputusan saya tetapi setelah saya membuat penjelasan, Mak terdiam. Abang Teh dan Cho menyokong saya.

Saya menumpang di rumah Cho dan berulang-alik ke ITM menaiki bas mini. Dengan bajet yang terhad , saya tidak mampu untuk memiliki motorsikal mahupun menyewa rumah. Kebanyakan masa saya dihabiskan di perpustakaan (untuk mengisi masa terluang sementara menunggu kelas berikutnya). Kebanyakan rakan-rakan saya siswi dari program yang sama (ADIA). Kak Aisyah, Kak Nores, Kak Asmah, Kak Zetty, Linda, Zamzarina, Giro, Midah, Syed dan Che Li antara rakan-rakan sekelas saya yang banyak membantu saya ketika di ITM Shah Alam.


Bersama rakan-rakan sekelas ADIA ITM 95-97

Ketika ini saya mula mengasah bakat menjadi pendidik. Saya berusaha keras untuk mendapat keputusan yang baik. Kenapa? Ada rakan yang mengatakan, pemegang pinjaman MARA akan dikecualikan dari membayar balik pinjaman tersebut jika tamat pengajian pada masa yang ditetapkan dengan CGPA melebihi 3.0. (pinjaman tersebut saya terima pada hujung semester ke 3).

Bagaimana saya berusaha? Saya belajar mendahului "syllabus" dan "sparring partner" saya Syed dan Che Li banyak membantu. Saya juga menjadi "tutor" sukarela kepada rakan-rakan yang lain, namun akhirnya mereka semua tidak mahu turut serta. "Tak nak joinlah Tod, ngkau dengan Syed laju sangat".

Akhirnya, saya berjaya menamatkan pengajian pada masa yang ditetapkan dengan keputusan yang agak memberangsangkan. Alhamdulillah.