Seorang anak sedang memperhatikan perjuangan seekor anak kupu-kupu yang berusaha keluar dari kepompongnya. Ia menunggu berjam-jam dan merasa bahawa sang kupu-kupu kecil kelihatannya tidak mampu untuk mengeluarkan dirinya. Oleh kerana merasa kasihan, sang anak mengambil gunting untuk membuat lubang yang lebih besar agar si kupu-kupu itu dapat keluar lebih mudah. Akibat perbuatannya, memang kupu-kupu itu berhasil keluar, tapi otot-otot sayapnya tidak menjadi kuat dan besar sehingga ia tidak dapat terbang.Sang anak mendapat pelajaran yang sangat berharga, bahawa sang kupu-kupu memerlukan perjuangan yang keras agar supaya otot-otot sayapnya dapat terbentuk. Niat baik sang anak justeru menghasilkan kecacatan kekal bagi sang kupu-kupu yang malang.
Begitulah juga dalam menuntut ilmu. Kesukaran dan kepayahan yang ditempuhi membuatkan kita lebih bersedia menghadapi cabaran di alam pekerjaan. Apa yang saya perhatikan kebelakangan ini, kebanyakan pelajar mengambil mudah dalam menuntut ilmu. Semuanya telah terhidang dan tersedia.
Sewaktu belajar di ITM Shah Alam dahulu, saya berebut menaiki bas mini hampir setiap hari seawal jam 6:30 pagi untuk memastikan saya sampai ke kelas sebelum jam 7:50 pagi. Saya mencatu belanja makan saya setiap hari kerana wang saku bulanan saya hanya RM80 sahaja. Tambang bas mini RM1.20 dua hala setiap hari. Saya juga perlu mengagihkan sedikit wang belanja fotostat. Setelah membuat pengiraan dengan teliti, makan tengahari saya tidak boleh lebih dari RM1.50 sehari. Apa yang saya makan? Nasi putih, 2 keping "fishcake", sedikit sayur dan air suam. Jumlahnya RM1.20. Hampir setiap hari, menu yang sama.
Itu antara kesukaran yang saya lalui semasa belajar dahulu. Dan kerana pengalaman-pengalaman seperti itulah saya menjadi lebih kuat dan tabah. Alhamdulillah.
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." [Al-Insyirah:5-6]
Cerita kupu-kupu dipetik dari http://jinggo-ecokid.blogspot.com/2011/02/untuk-dikongsikan.html



