Sabtu, 4 September 2010

Mood Raya (Kad Raya Bloggers)








Salam Aidilfitri buat semua pembaca entri ini. Saya mohon maaf seandainya terdapat apa jua kekhilafan di dalam penulisan saya yang mungkin mengguris perasaan.

Khamis, 2 September 2010

Genap 10 tahun


Hari ini genap 10 tahun usia perkahwinan kami. Terasa begitu pantas masa berlalu. Bagaikan baru semalam melafazkan akad nikah (3 kali sebab tersasul, tok kadi susah nak sebut nama penuh Wardah).

Buat Wardah, terima kasih kerana telah menemani saya selama 10 tahun.

Terima kasih kerana sanggup berkongsi hidup dengan saya, berkongsi susah dan senang, berkongsi suka dan duka, berkongsi ceria dan hiba.

Terlalu banyak jasa dan khidmat disumbangkan buat kami sekeluarga.

Semoga hubungan ini berkekalan hingga ke akhir hayat kami. Amin.

Sabtu, 28 Ogos 2010

Mbok semakin uzur


Semalam saya dan keluarga melawat Mbok (ibu mertua saya) di Hospital Teluk Intan. Semenjak saya berkahwin dengan isteri saya, Wardah, inilah kali pertama saya melihat Mbok (ibu mertua saya) dalam keadaan sugul dan tidak sihat. Beliau kurang bercakap dan tidak ceria.

Mbok disahkan menghidap kanser limfoma lebih kurang 3 tahun yang lepas. Pada ketika itu doktor yang merawat beliau mengatakan bahawa tanpa rawatan "chemotherapy" Mbok hanya mampu bertahan selama 18 bulan sahaja. Mbok tidak mahu melakukan rawatan tersebut kerana berdasarkan pengamatan beliau, rakan-rakan lain yang melakukan rawatan "chemotherapy" melalui proses yang menyakitkan dan kebanyakan dari mereka akhirnya meninggal dunia.

Keluarga Wardah bersepakat untuk mencari rawatan alternatif (Ozone Treatment dan "supplement food") dan Alhamdulillah, keadaan Mbok semakin baik. Beberapa minggu yang lepas, Mbok kembali tidak sihat dan rawatan alternatif yang diamalkan nampaknya tidak memberi kesan yang positif. Mbok kerap demam, muntah-muntah dan tidak sedap badan. Kanser tersebut telah semakin merebak. Kelenjar-kelenjar di seluruh badannya membengkak terutamanya kelenjar di perut beliau, semakin membengkak, mengeras dan membesar.

Sekali lagi, selepas 3 tahun, doktor menyarankan Mbok menjalani rawatan "chemotherapy". Mbok bersetuju kerana doktor tersebut memberi harapan yang bengkak di perutnya akan sembuh selepas rawatan "chemotherapy". Saya secara peribadi, tidak bersetuju Mbok menjalani rawatan tersebut. Mbok telah berusia lebih 80 tahun. Saya risau rawatan tersebut akan lebih memudaratkan lagi (kerana faktor umur Mbok).

Saya doakan Mbok segera sembuh dari kesakitan yang sedang beliau tanggung sekarang ini.

Saya rindukan senyuman dan keceriaan beliau.

Ahad, 15 Ogos 2010

Ikhlas

“Tiadalah mereka diperintah, kecuali supaya menyembah kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan agama yang lurus dan mendirikan solat, mengeluarkan zakat. Itulah agama yang lurus.” (Al-Bayyinah 5)

Ibn Qayyim pernah berkata : "Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tapi tidak bermanfaat."

Dalam menuntut ilmu keikhlasan itu penting. Kerana itu, antara adab menuntut ilmu hendaklah ikhlas dan diniatkan dalam hati kerana Allah. Apabila seseorang menuntut ilmu hanya untuk mendapatkan gelaran, kedudukan atau ingin menjadi orang dipandang, maka Rasulullah SAW memberi peringatan.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa menuntut ilmu yang dipelajari hanya kerana Allah sedangkan ia tidak menuntutnya kecuali untuk mendapatkan mata benda dunia, ia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Ikhlas adalah mengesakan haq Allah swt dalam segala amalan ketaatan dengan niat, iaitu dia melakukan amalan ketaatannya hanyalah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt, tiada apapun selain itu, iaitu mereka yang melakukannya kerana Makhluk, atau kerana ingin mendapat pujian mereka, serta kecintaan kepada pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain redha Allah. Boleh juga dikatakan, bahawa Ikhlas itu adalah pembersihan (niat) diri (semasa amalan) dari segala segala perhatian manusia. ( Al-Risalah al-Qusyairiah, tahqiq Abd Halim Mahmud, 1/443)

Memang mudah untuk melafazkan kata ikhlas, mudah juga untuk cuba menyakinkan diri bahawa diri ikhlas dalam perjuangan, namun untuk benar-benar memastikan hati sentiasa istiqamah ikhlas kepada Allah swt, ia bukan satu tugas yang mudah, namun ia maha penting dan penentu masa depan kita tatkala berdepan dengan Allah swt kelak.

Kadang-kadang niat kita ikhlas tetapi perlaksanaan perbuatan itu tidak. Contohnya; ketika tiada sesiapa mahu menjadi imam solat kita secara ikhlas ke hadapan menjadi imam. Tatkala memulakan bacaan Al-Fatihah dengan alunan Tarannum, terdetik di hati "ah, pasti makmum memuji bacaan ku ini". Adakah kita masih ikhlas pada ketika itu.

Keikhlasan mungkin tergelincir di pertengahan atau di pengakhiran perlaksanaan. Kita mesti cepat memperbetulkannya kembali melalui istighfar supaya amalan kita benar-benar ikhlas.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda;

Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid

Dibalas : Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar "SANG BERANI"

maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.

Ditanyakan kepada (orang kedua) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al-Quran"

Dijawab semula : Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘ALIM, kamu membaca Al-Quran agar digelar "QARI"

maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.

Ditanyakan kepada (orang ketiga) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"

Dijawab semula : "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar "DERWAMAN"

maka dikatakan kepada Malaikat, lalu telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka (Hadis riwayat Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah)

Rabu, 11 Ogos 2010

Ramadhan dan kematian

Setiap kali menjelang Ramadhan saya akan terkenan kepada dua individu (yang agak rapat dengan saya) yang telah meninggal dunia semasa bulan Ramadhan.

Allahyarham Mahadhir

Beliau meninggal dunia pada 1 Ramadhan (tahun 2000). Beliau dan saya sama-sama belajar di ITM Perlis (Diploma in Accountancy (DIA) 1992-1995) dan menjadi "junior" saya semasa di ITM Shah Alam (B.Acc). Beliau seorang yang "happy go lucky" dan senang berkawan dengan beliau. Semasa saya belajar di UiTM Shah Alam di peringkat Ijazah Sarjana saya menerima berita kematian beliau.

Malam sebelum Ramadhan (tahun 2000), beliau makan bersama rakan-rakan lain (member-member lama semasa DIA). Selepas bersahur (1 Ramadhan) beliau bersiap-siap untuk solat subuh. Belum sempat bersolat beliau rebah. Akhirnya beliau menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibu beliau.

Allahyarham Hjh Norlela Jalen
Beliau merupakan isteri kepada abang ipar saya (biras saya). Semasa kami tinggal di Kuala Lumpur, beliau begitu mengambil berat tentang kami sekeluarga. Semasa Wardah melahirkan Eisya (anak pertama kami) beliau sibuk menyediakan mandian Wardah, menolong menguruskan Eisya yang baru dilahirkan hinggalah menanam uri. (Pada waktu itu saya begitu kekok dan tidak tahu menguruskan orang bersalin).

Begitu juga bila menjelang Aidilfitri, kuih tart dan chocolate chip buatan beliau adalah antara yang terbaik dan tersedap pernah saya makan.

Menjadi tradisi keluarga Wardah untuk menaja majlis berbuka puasa di masjid Sg. Nipah, Bagan Datoh pada minggu pertama Ramadhan setiap tahun. Dan pada tahun 2003 kesemua ahli keluarga pulang ke kampung dalam minggu pertama Ramadhan. Sehari selepas "more" tersebut pulang ke rumah masing-masing. Hari Isninnya kami mendapat berita beliau meninggal dunia ketika sibuk menyediakan juadah berbuka puasa. Beliau meninggal dunia kerana serangan jantung.

Saya masih ingat baju (jubah berseluar) kali terakhir sebelum beliau pulang ke Kuala Lumpur. Itulah kali pertama dan terakhir saya melihat beliau memakai pakaian tersebut. Malam sebelumnya beliau sibuk bercerita tentang persiapan menyamput Aidilfitrinya. Pada tahun itu, anak sulungnya sedang mengandungkan anak pertama. Secara berseloroh saya mengusik beliau dengan mengatakan nenek akan tolong jaga cucunya. Dengan bersahaja beliau menjawab,"Eh, tak kuasa orang nak jaga. Jaga le anak sendiri, apa pulak kita kena jaga. Kecik-kecik dah jaga dia (anak beliau), anak sendiri jaga le sendiri". Dan kata-kata itu menjadi kenyataan.

Allahyarham abang ipar saya (Hj Supuan Zaki) meninggal dunia sebulan kemudian (bulan Syawal tahun yang sama).

Kepada pembaca entri ini, marilah sama-sama kita sedekahkan bacaan Ummul Kitab buat mereka kedua.

AL-FATIHAH.

(Entri lama, tetapi amat signifikan)

Gila atau bodoh?



A Russian man has died in a competition in Finland in which contestants sit in a sizzling hot sauna, aiming to endure temperatures topping 110 degrees celsius, above boiling point.

Vladimir Ladyzhenski, who made it to finals with Timo Kaukonen, the defending Finnish champion, died shortly after both men ended the match with serious burns.

Meanwhile, Kaukonen has been taken to hospital in a stretcher and is reportedly in critical condition.

The organisers of the annual contest maintain that "all rules were followed", but police are investigating what went wrong.

Al Jazeera's Stefanie Dekker's reports.

Selasa, 10 Ogos 2010

Salam Ramadhan


Sempena Ramadhan, saya menyusun 10 jari seandainya ada kekhilafan dari segi lisan mahupun tindakan. Semoga Ramadahan ini membawa 1,000 rahmat dan 1,000 keberkatan buat kita semua. Amin

Khamis, 5 Ogos 2010

36


Hari ni genap usia saya 36 tahun.


Alhamdulillah saya masih mampu menikmati nikmat hidup dan saya berdoa semoga sisa hayat saya ini dipenuhi dengan perkara-perkara bermanfaat yang bakal membantu saya di kehidupan di akhirat kelak.


Tepat jam 12:00 malam saya menerima seutas jam tangan "sporty & trendy" dari isteri saya. Sangat cantik dan menarik.


Di facebook saya menerima banyak sekali ucapan dan doa (pelajar-pelajar, rakan-rakan dan ahli keluarga) sempena hari kelahiran saya. Terima kasih saya ucapkan.


Dan pagi ini, bila saya membuka email, saya menerima ucapan selamat hari lahir dari Naib Canselor UiTM. Walaupun ianya dihantar seara automatik oleh komputer namun ianya amat bermakna buat saya. Bak kata Prof Dr Muhd Kamil " kecil tapi signifikan".


Terima kasih buat semua.

Selasa, 27 Julai 2010

Dalilah Tamrin@ Raden Galoh


Saya membaca akhbar The New Straits Times dan terkejut membaca berita tentang Dalilah Tamrin (atau lebih dikenali dengan Raden Galoh) telah kembali ke Rahmatullah lebih kurang seminggu yang lalu akibat kanser yang beliau hidapi. Saya semakin kurang ber"blog" kerana gagal mencuri masa. Cuma sekali-sekala menjengah blog rakan-rakan lain.

Saya mula membaca blog Raden Galoh (Onebreastbouncing) bila ibu mertua saya menghidap penyakit kanser Lymphoma. Banyak panduan yang saya perolehi (terutamanya petikan ayat-ayat suci Al-Quran untuk melawan kanser). Alhamdulillah penyakit ibu mertua saya berkurang.

Seorang insan yang istimewa. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang soleh. AL-FATIHAH

Artikel berikut dipetik dari http://elviza.wordpress.com dan disiarkan dalam akhbar sinar harian pada 21 Julai 2010

LANGIT PETANG di Tanah Perkuburan Kg. Labuhan Dagang menangis lewat Isnin lepas. Langit di hati saya juga masih kelabu dengan airmata. Jadi, saya memohon kelonggaran dari pembaca budiman agar ruangan Kanvas Kata minggu ini dikhususkan sebagai obituari sahabat saya, Dalilah Tamrin.

Dunia penulis laman sesawang telah bertanggungjawab menemukan kami dalam lingkungan keakraban manusia. Persahabatan kami tidak tua usianya, baru empat tahun sejak pertama kali bertemu mata. Tetapi empat tahun itu getir. Apa yang saya belajar dari Dalilah, boleh diibaratkan seluas laut, setinggi gunung dan setala langit lepas.

Tuhan pertama kali menduga Dalilah ketika beliau berusia 37 tahun, di mana Dalilah telah didiagnosiskan mengidap kanser payudara. Bahagian payadara yang tercemar dengan kuman jahat itu segera dibedah dan dibuang jauh-jauh. Harap-harap sel-sel kanser itu tidak kembali mengganggu Dalilah. Selesai pembedahan payudara, enam kitaran chemoteraphy dan 24 sesi radiotherapy, Dalilah menarik nafas lega.

Tetapi rasa lega Dalilah cuma bertahan tiga tahun sehaja. Masuk tahun 2008, sekali lagi Tuhan menduga Dalilah. Kanser metastasis telah disahkan merebak ke bahagian hati, tulang rusuk, tulang selangkang dan rahang beliau. Penularan kanser di bahagian hati itu juga telah menempatkan Dalilah sebagai pesakit kanser kronik, tahap keempat.

Sekali lagi tubuh badan Dalilah menderita didera rawatan chemotherapy, yang bukan sahaja membunuh sel-sel kanser, tetapi juga setiap zarah sel-sel lain di badan. Tidak tertanggung mata melihat penderitaan Dalilah. Namun, berbekalkan dorongan suami dan anak-anak, Dalilah selesaikan juga enam kitaran DOCE chemotherapy dan lima sesi radiotheraphy.

Tidak juga mati kanser jahanam itu!

Pada bulan Julai 2009, para doktor dan pakar onkologi bijaksana telah memberi jangkaan bahawa Dalilah hanya ada 18 bulan untuk hidup. Ketika baru mengetahui diagnosis yang mengjengkelkan itu saya meradang, saya bertanya kepada Dalilah: Why do doctors love to play God? Dalilah tergelak besar sebelum menjawab: It would be worse it you let lawyers play God! Ah, Dalilah…

Ketika arwah masih ada, saya sering mengusik beliau, saya bilang: “Awak ini selebriti penyakit kanser!” Apa tidaknya? Sekiranya dijemput untuk ditemubual di stesen television atau berucap di hadapan pesakit-pesakit kanser yang lain, mutiara kata dan teks ucapan akan Dalilah susun dan rancang serapi mungkin. Elemen-elemen emosi diabaikan untuk memberi laluan kepada semangat dan harapan kepada pesakit kanser yang lain. Setiap kali Dalilah muncul di kaca television, ibu saya adalah antara penonton merangkap peminat setia beliau.

Dalilah bukan seperti pesakit kronik yang pernah saya temui. Tiada kanser di dunia yang mampu memadamkan semangat perempuan kuat ini. Walaupun mengidap kanser tahap keempat, Dalilah tetap berkeras untuk menjalankan tugas sebagai isteri, ibu, penulis laman sesawang dan buku, pejuang penyakit kanser, aktivis kemasyarakatan dan macam-macam lagi. Bukan sedikit jasa dan peninggalan arwah untuk dunia yang fana ini.

Sebelum Dalilah pergi, dia telah menghuraikan perjalan beliau menentang kanser dalam sebuah buku, Kanser Payudaraku, yang telah diterbitkan oleh Tinta Publisher pada tahun 2009. Beberapa bulan sebelum sakaratul maut datang menjemput, Dalilah sempat mengabadikan pesanan terakhir beliau dalam lagu KembaliKu PadaMu Ilahi.

Saya teringat kata-kata Dalilah ketika saya menangis melihat dia terlantar di katil hospital lewat setahun lepas: “Jangan menangis, Mish. Hidup ini sementara sahaja. Aku tunggu kau di sana ya? Kalau aku mati, kau boleh tulis pasal aku. Kau menulis sangat cantik, macam bidadari!” Sehingga sekarang, masih ada batu besar yang terlekat di kerongkong saya.

Rakan Dalilah, Datin Paduka Marina Mahathir, pernah menyuarakan pendapat bahawa setiap kali selepas menziarahi Dalilah, semua orang akan pulang dengan hati riang. Aneh bukan? Lazimnya jika menziarah orang sakit, kita akan rasa sedih, terharu. Tetapi Dalilah yang saya kenal, memang pantang melihat walau sezarah kesedihan. Senyuman Dalillah lebar lagi murah. Ketawa dan jenaka jadi sulaman walaupun sedang perit berperang dengan chemotherapy.

Semenjak Dalilah sakit, tidak sekali saya mendengar dia mengeluh. Genap seminggu selepas Dalilah melakukan tawaf wida’ di Tanah Haram, roh Dalilah diangkat pulang ke Rahmatullah, pada tanggal 19 Julai 2010.

Sekiranya hari ini Dalilah masih hidup, beliau akan menyambut harijadinya yang ke-43, tetapi Tuhan lebih mengasihi Dalilah. Saya mohon maaf sekiranya garapan ini tidak secantik bidadari, sahabat, tetapi saya sudah mencuba sedaya kudrat.

Benar Dalilah sudah pergi, tetapi obor semangat beliau akan terus menyala dalam setiap hati yang pernah beliau sentuhi. Harimau mati meninggalkan belang, Dalilah mati meninggalkan semangat. Semoga roh Dalilah Tamrin ditempatkan di kalangan para solihin. Tunggu saya di sana, Dalilah. Suatu hari saya juga akan pulang…

* Elviza Michele Kamal merasakan titipan minggu ini hambar sekali, langsung tidak secantik bidadari.

(dipetik dari http://elviza.wordpress.com)

Ahad, 4 Julai 2010

Reunion SEMESTIAN 4th Batch





Kami sekeluarga bertolak ke Sedayu Resort pada 3/7/2010 pada hari ulangtahun Eisya (anak sulung kami) untuk menghadiri majlis "SEMESTIAN 4th batch (1987-1991) reunion". Perjalanan yang memenatkan tetapi sangat "menguja"kan.

Saya bertemu dengan isteri saya semasa reunion pada tahun 1998 di Restoran Nelayan Taman Tasik Titiwangsa (yang kemudiannya berlanjutan hingga ke jinjang pelamin). Pada ketika itu hanya beberapa orang yang telah mendirikan rumahtangga.

Aturcaranya programnya ringkas.

3:00pm Pendaftaran dan Minum petang (bersembang sambil mengutuk lebih-kurang)

5:30pm Sukaneka (sambung kutuk lebih-kurang)

7:30pm Solat maghrib, bacaan Yaasin dan tahlil (buat rakan-rakan yang telah tiada. Allahyarham Nur Mizhuari Al-Azzam, Allahyarham Asrul Faizi, Allahyarham Mohd Ridzuan Ghazali dan rakan-rakan lain)

8:30pm BBQ

10:00pm Tengok Worldcup @ tengok kekalahan memalukan Argentina.

Reunion kali ini amat berbeza. Semuanya semakin matang dan mem"besar". Sekalung penghargaan dan tahniah terutamanya buat Pn. Dewi Kusmini, En. Radzuan Norbit, En. Othman Taufik, Pn. Suriani Ismail, En. Abu Bakar (Burn), En. Halmee Samsuddin dan rakan-rakan lain yang berusaha keras dalam menjayakan program ini.

Kami pulang ke Seri Iskandar pada pukul 10:30pm kerana saya bertugas pada hari pendaftaran pelajar UiTM pada 4/3/2010. Walaupun kepenatan saya sangat gembira dan puas hati kerana dapat bertemu rakan-rakan lama yang mengimbau kenangan-kenangan lama.

Jumaat, 4 Jun 2010

Qunut Nazilah


Qunut Nazilah adalah do’a qunut ketika musibah atau kesulitan menimpa kaum Muslimin, seperti peperangan, terbunuhnya kaum Muslimin atau diserangnya kaum Muslimin oleh orang-orang kafir. Qunut Nazilah, iaitu mendo’akan kebaikan atau kemenangan bagi kaum Mu’minin dan mendo’akan kecelakaan atau kekalahan, kehancuran dan kebinasaan bagi orang-orang kafir, musyrikin dan selainnya yang memerangi kaum Muslimin. Qunut Nazilah ini hukumnya sunnat, dilakukan sesudah ruku’ pada raka’at terakhir pada solat fardhu lima waktu, dan hal ini dilakukan oleh Imam atau Ulil Amri.

Imam at-Tirmidzi berkata: “Ahmad (bin Hanbal) dan Ishaq bin Rahawaih telah berkata: “Tidak ada qunut dalam solat Fajar (Shubuh) kecuali bila terjadi Nazilah (musibah) yang menimpa kaum Muslimin. Maka, apabila telah terjadi sesuatu, hendaklah Imam (yakni Imam kaum Muslimin atau Ulil Amri) mendo’akan kemenangan bagi tentera-tentera kaum Muslimin.” [Tuhfatul Ahwadzi Syarah at-Tirmidzi II/434.]

Berdasarkan hadis Ibnu Abbas , bahwasanya Rasulullah S.A.W. melakukan qunut satu bulan berturut-turut pada solat Zhuhur, Ashar, Maghrib, ‘Isya dan Subuh di akhir setiap solat, yakni apabila baginda telah membaca “Sami’allaahu liman hamidah dari raka’at terakhir, baginda S.A.W. mendo’akan kecelakaan atas mereka, satu kabilah dari Bani Sulaim, Ri’il, Dzakwan dan Ushayyah sedangkan orang-orang yang di belakang beliau mengaminkannya.
[Abu Dawud no.1443, al-Hakim I/225 dan al-Baihaqi II/200 & 212, lihat Irwaa-ul ghaliil II/163.]

Imam an-Nawawi memberikan bab di dalam Syarah Muslim dari Kitabul Masaajid, bab 54: Istihbaabul Qunut fii Jami’ish Shalawat idzaa Nazalat bil Muslimin Nazilah (bab Disunnahkan Qunut pada Semua Solat (yang Lima Waktu) apabila ada musibah yang menimpa kaum Muslimin)
[Zaadul Ma’aad I/272-273, Nailul Authar II/374-375 -muhaqqaq.]

Tidak ada hadis dari Rasulullah SAW yang menunjukkan adanya doa khusus dalam qunut nazilah. Siapa yang menelaah pendapat-pendapat para ulama, nescaya ia akan mendapati para ulama memberi keluasan dalam perkara ini.

Qunut Nazilah

اللّهُمَّ إِنّا نَسْتَعِينُكَ وَنُؤمِنُ بِكَ ، وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْكَ ونُثْنِيْ عَلَيْكَ الخَيْرَ وَلاَ نَكْفُرُكَ ، اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُد ، وَلَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُدُ ، وَإِليكَ نَسْعَى وَنَحْفِد ، نَرْجُو رَحْمَتَكَ وَنَخْشَى عَذَابَك ، إِنَّ عَذَابَكَ الجَدَّ بِالكُفَّار مُلْحِق ، اللهم عَذِّبِ الكَفَرَةَ وَأهْلَ الكِتَابِ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ

"Ya Allah sesungguhnya kami memohon pertolongan dariMU dan kami beriman denganMu, dan kami bertawakkal kepada Mu, dan kami memuja Mu dengan kebaikan dan kami tidak mengkufuriMU,

Ya Allah hanya engkau yang kami sembah dan kepada Mu kami menunaikan solat dan bersujud, kepadaMu kami berusaha, kami mengharapkan rahmatMu dan kami takutkan azabMu, sesungguhnya azabMu yang pedih akan dikenakan kepada orang-orang yang kafir, Ya Allah azablah orang-orag kafir Ahli kitab yang menghalang-halangi dari jalanMU."

اللّهمّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِ أَعْدَائِنَا ، ونَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ اللّهمّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اِهْزِمْ اليَهُودَ الغَاصِبِيْنَ المحُتَلِّيْنَ، وَانْصُرْناَ عَلَيْهِمْ وَزَلْزِلْهُم. اللّهُمّ بَدِّدْ شَمْلَهُم وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، و شَتِّتْ كَلِمَتَهُم , خَالِفْ بَيْنَ قُلُوبِهِم، ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُم , وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْباً مِنْ كِلاَبِكَ يا قهار , يا جبار و يا مُنْتَقِمَ , اللهم أَنْزِلِ بِهِم بَأْسَكَ الَّذِيْ لايُرَدُّ عَنِ القَوْمِ المُجْرِمِين.


Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami menjadikan-Mu sebagai pendinding (kepada musuh2) kami, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka.

Wahai Tuhan kami, wahai Tuhan yang menurunkan al-Kitab (al-Quran), dan wahai yang menjalankan awan, dan wahai yang menghancurkan tentera al-Ahzab, hancurkanlah Yahudi perampas dan penjajah dan bantulah kami ke atas mereka dan goyangkanlah mereka.

Wahai Tuhan kami, binasakanlah kesempurnaan mereka, dan pecah-belahkanlah jemaah/kesatuan mereka, dan gagapkanlah perkataan mereka (melalutkan mereka), pecah belahkanlah hati-hati mereka, goyahkanlah pendirian mereka, dan hantarkanlah anjing ke atas mereka dari anjing-anjing suruhanMu, wahai Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa, wahai Tuhan Yang Maha Berani, wahai Tuhan Yang Maha Berdendam, wahai Allah tuhan kami, turunkanlah ke atas mereka kemarahan dan kesakitan dariMu yang tidak mampu ditolak oleh kaum yang berdosa.

اللهم اُنْصُرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُجَاهِدِينَ عَلىْ اليَهُود..اللّهم انْصُرْناَ عَلَيْهِم فِي كُلِّ مَكَانٍ..اللّهمّ أَرِناَ فِيْهِمْ عَجَائِبَ قُدْرَتِكَ .. اللّهمّ أًحْصِهِمْ عَدَداً وَاقْتُلْهُمْ بَدَداً وَلاَ تُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَداً..اللّهمّ اجْعَلْهُمْ غَنِيْمَةً لِلْمُسْلِمِيْن..اللّهمّ اجْعَلْ سِلاَحَهُمْ فِي صُدُوْرِهِمْ وَكَيْدَهِمْ فِي نُحُورِهِمْ وَتَدْبِيْرِهِمْ تَدْمِيْراً لهَمُ , اللّهمّ اْجْعَلْ الملائكةَ تُعِيْنُ المسلمين ..اللّهمّ سَدِّدْ رَمْيَهُمْ .. اللّهمّ سَدِّدْ رَصَاصَهُمْ

Ya Allah, bantulah muslimin dan pejuang Islam dalam petempurannya dengan Yahudi, Ya Allah bantulah kami untuk mengalahkan mereka di mana-mana sahaja, Ya Allah tunjukkanlah kepada mereka keajaiban kuasaMu, Ya Allah jadikanlah mereka boleh dibilang, dan bunuhlah mereka sebinasanya, dan janganlah engkau lepaskan mereka walau seorang.

Ya Allah jadikanlah senjata dan harta mereka sebagai harta rampasan di tangan kaum Muslim, Ya Allah jadikanlah senjata mereka mengenai dada mereka sendiri, dan helah mereka mengenai tengkuk mereka, dan perancangan mereka penghancur mereka sendiri, Ya Allah jadikanlah para Malaikat membantu kaum Muslimin, Ya Allah tepatkanlah tembakan dan lontaran mereka

اللّهمّ أَهْلِكْهُمْ كَمَا أَهْلَكْتَ إِرَمَ وَعَاد ... اللّهمّ صُبَّ عَلَيْهِمْ سَوْطَ عَذَابِ فَإِنَّهُمْ أَفْسَدُوْا فِي البِلاَدِ وَقَتَلُوْا العِبَادَ , اللهم انصُرْ إِخْوَانَناَ فِي لُبْناَن وَفِلَسْطِين وَافغانستان والعراق وَجَمِيْعِ بِلاَدِ المسلمين

Ya Allah hancurkanlah mereka sebagaimana engkau mengahncur kaum Iram dan ‘Ad , Ya Allah palulah mereka dengan paluan azaz kerana mereka telah melakukan kerosakan dalam negara dan membunuh para hambaMu. Ya Allah bantulah saudara kami di Lubnan, Palestin, Afghanistan, Iraq dan seluruh negara umat Islam.

Sumber:
http://www.zaharuddin.net
http://www.iumelaka.com

Isnin, 31 Mei 2010

Kehilangan seorang manusia biasa


UiTM Perak "kehilangan" seorang manusia biasa yang memiliki jiwa dan idea yang luar biasa. Pengarah Kampus UiTM Perak, Professor Dato' Abdullah bin Mohd. Said telah berpindah ke jawatan Baru (Timbalan Naib Canselor HEP) di UiTM Malaysia berkuatkuasa 1 Jun 2010.

Saya doakan semoga beliau terus cemerlang di dalam kerjaya beliau dan terus menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan UiTM.

"Tiada apa yang istimewa di Perak. Semuanya biasa-biasa sahaja. Dengan perkara biasa-biasa ini lah yang menjadikan UiTM Perak luarbiasa". Antara petikan ucapan beliau sewaktu UiTM Perak dinobatkan sebagai pemenang Augerah Kualiti Naib Canselor.

Saya kagum dengan manusia "biasa" ini. Terima kasih kerana menabur bakti di UiTM Perak.

Rabu, 12 Mei 2010

Tidak Profesional?


Ada pelajar mengkritik saya kerana tidak bersikap "profesional" kerana suatu isu yang saya bangkitkan (berkenaan latihan praktik) dan kemudiannya saya memohon maaf secara terbuka.

Saya membangkitkan isu tersebut untuk pengajaran kepada pelajar yang belum membuat latihan praktik supaya mereka tidak melakukan kesilapan yang sama. Saya tidak berniat untuk memalukan kumpulan pelajar yang sedang melakukan latihan praktik.

Olehkerana ada pelajar yang rasa tersinggung, saya mohon maaf secara terbuka. Pada pandangan sebahagian pelajar lain saya telah "kalah" dengan memohon maaf dan melabel saya seorang yang tidak profesional.

Mungkin saya perlu bersikap ego dan tidak rasional untuk menjadi profesional?

Atau mungkin saya perlu lebih emosional dalam membuat keputusan untuk menjadi profesional?

Ke saya perlu memaki hamun dan mencarut untuk menjadi profesional?

Adakah dengan memohon maaf saya menjadi tidak professional?

Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh. (Al-A'raf:199)

Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, melainkan dengan benar. Dan sesungguhnya saat (kiamat) itu pasti akan datang, maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik.
(Al-Hijr:85)

Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila mereka marah mereka memberi maaf. (Asy-Syuura:37)

Berdasarkan ayat-ayat di atas, saya rela untuk menjadi tidak professional.

Kepada si mulut celupar ini, awak tahu ke makna professional?

Jumaat, 7 Mei 2010

Tips keanggunan dan kecantikan



1) Sentiasa dalam keadaan wudhu'

“Dari Abu Hurairah berkata: telah bersabda Rasulullah saw: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya bersama air atau titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya. (Hadith riwayat Muslim)”

“Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Maka Baginda saw pun bersabda: Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya) (Hadis riwayat Muslim)”

“Dari Abu Hurairah, beliau meriwayatkan dari Rasulullah saw, bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah saw memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut, dalam sabda Baginda saw: Sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwudhu pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wudhu, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas. (Hadith riwayat. al-Bukhari)”

”Sesungguhnya umatku dipanggil pada Hari Kiamat dalam keadaan bercahaya wajah-wajah, tangan-tangan & kaki-kaki mereka kerana bekas wudhu (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)”

2) Mengamalkan doa melihat cermin.
3) Berzikir
Wajah yang cantik berseri lahir dari hati yang tenang.

Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Surah ar-Ra'd: 28

“Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah S.W.T., serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh-musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong lehermu?” Kemudian para sahabat bertanya, “Apakah itu wahai Rasul?” Beliau menjawab: “Zikir kepada Allah S.W.T.” (Hadith riwayat al-Baihaqi).

4) Melazimkan bacaan zikir berikut.

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِينَ
Tiada Tuhan yang lain melainkan Engkau. Maha Sucilah Engkau sesungguhnya aku mengaku bahawa aku adalah dari orang-orang yang melakukan kezaliman.

Wallahhua'lam

Sumber: Olahan semula tips kecantikan dari Al-Kuliyyah TV3

Selasa, 27 April 2010

Mencarut


Mulut ini dicipta oleh Allah adalah untuk mengatakan perkataan baik seperti membaca Al-Quran berzikir, berkata benar dan sebagainya. Mencarut bukan benda yang main-main, ALLAH sangat membenci orang yang suka mencarut. Malah Rasululullah sendiri pernah bersabda dalam hadith di dalam sahih Muslim :

Diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Bukan dari golongan kami orang yang menampar pipinya, mengoyak-ngoyak saku bajunya atau berdoa dengan doa orang-orang jahiliah

Berdoa dengan doa orang-orang jahiliyah yang dimaksudkan dalam hadith tersebut ialah mencarut. Bayangkanlah kebencian Rasulullah terhadap orang-orang yang mencarut sehinggakan baginda tidak mengaku umatnya. Mampukah kita selamat di akhirat kelak tanpa mendapat label sebagai seorang umat Rasulullah.

Cukupkah amalan kita untuk masuk ke syurga jika Rasulullah tak mengaku kita sebagai umat? Syafaat (privillege) umat Rasulullah amat besar di akhirat kelak, maka rugilah kita sebagai umat Rasulullah secara automatik, tidak diakui oleh Rasulullah sebagai umatnya.

Mencarut boleh jadi dalam berbagai bentuk, boleh jadi dalam bentuk percakapan bahkan untuk zaman yang serba canggih, internet dan komputer ini, penulisan di blog ataupun di laman web sosial seperti Facebook dan sebagainya menjadi media untuk mereka meluahkan perasaan mereka. Semakin lama semakin mudah untuk kita mencarut. Sehinggakan seorang yang bisu, buta pun boleh mencarut.

Ingatlah, perbuatan yang keji dan terkutuk ini tak sepatutnya ada pada kita sebagai umat islam dan umat Rasulullah. Hidup kita takkan menjadi berkat jika kita dibenci. Bukan hanya dibenci orang, malah ALLAH dan RasulNya pun membencinya. Mana lagi ruang kita nak cari untuk mencari keberkatan?

Dari keberkatan lah kita akan dapat kebahagiaan dunia dan diakhirat, kebahagiaan rumahtangga. Masakan isteri atau suami kita menyukai kita mencarut? selesa dengan cara hidup kita dengan mencarut? Kebahagiaan melalui perkataan carutan? Ada ke? Fikirkanlah.

Kita nak hidup cool, macho, chill, urban, sempoi, chic or wutever term boleh, tapi ada batasannya.

Olahan artikel ibnulatef dari iLuvislam.com

Jumaat, 23 April 2010

Silap di mana ya??

Saya menerima mesej di Facebook (di wall saya di mana semua orang boleh membacanya). Mesej tersebut dari pelajar saya yang bakal menduduki peperiksaan akhir untuk kertas ETR300 (asas keusahawanan). Pelajar tersebut antara pelajar-pelajar yang agak "kurang sopan" di dalam kelas saya, di mana saya telah nyatakan dalam entri sebelum ini (klik di sini). Mesej tersebut seperti di bawah.

Mungkin apa yang saya tulis itu bunyinya agak kasar. Sebenarnya saya agak marah pada ketika itu selepas terbaca entri ini (yang menunjukkan status pelajar tersebut) sebelum peperiksaan tersebut (ketika mereka sibuk menyiapkan "business plan")
Selepas saya membalas mesej pelajar tersebut, dia bertindak memadam kesemua mesej dan entri di atas. (Dia terlupa saya seorang pensyarah yang celik IT dan telah menyimpan "softcopy" entrinya). Kemudiannya pelajar itu menghantar "private message" kepada saya.

Saya menulis entri ini bukan untuk memalukan pelajar tersebut sebaliknya saya mahu orang lain (terutamanya yang masih belajar) mengambil iktibar. Semoga Allah membuka pintu hati pelajar-pelajar ini untuk berubah. Amin.

Ahad, 18 April 2010

Mee Rebus Batu Gajah



Saya antara peminat mee rebus. Jika di Teluk Intan antara tempat yang terkenal dengan mee rebusnya ialah Mastan Ghani dan Mee Rebus Kamaruddin (saya panggil kedai koboi kerana "set-up"nya yang "simple"). Jika di Ipoh sudah tentunya Mee Rebus Ramli.

Batu Gajah? Saya "strongly recommend" Mee Rebus yang dijual berhampiran Pasar Batu Gajah (seberang jalan besar, berhampiran "parking lot"). Harganya cuma RM2.50 jauh lebih murah dari kedai-kedai lain dan sedap. Menu lain yang dijual mee goreng dan rojak (setiap menu berharga RM2.50).

Mengenyangkan. Memang berbaloi.

Jumaat, 19 Mac 2010

Diberi muka naik kepala


Pepatah melayu ini biasa kita dengar dan hal ini berlaku kepada saya. Saya seorang pendidik yang agak "longgar" atau "linean" dalam banyak perkara. Saya agak terbuka dan boleh "berunding" dalam banyak perkara berkaitan akademik selagi ianya membawa kebaikan bersama. Jarang sekali saya memarahi pelajar saya.

Dalam portfolio pengajaran/ prinsip saya, saya beranggapan pelajar-pelajar saya "matang". Saya tidak kisah jika mereka lewat ke kelas. Alasan saya mudah, jika mereka tahu adab menuntut ilmu mereka tidak akan sekali-kali lewat ke kelas.

Apa yang berlaku kebelakangan ini agak mendukacitakan. Pelajar-pelajar saya bukan sahaja lewat datang ke kelas tetapi turut menipu dari sudut kehadiran ke kuliah. Ada pelajar yang meniru tandatangan rakan mereka yang tidak hadir.

Sewaktu saya mengajar mereka membuat bising dibelakang kelas (macam budak TADIKA). Tindakan saya, saya diam. Bila saya tidak bercakap, mereka turut diam. Bila saya mula bercakap, mereka bercakap semula.

Saya telah mengajar lebih 9 tahun dan pelajar-pelajar ini memang pelik. Mereka dari golongan pelajar yang agak pintar tetapi kurang beradab.

Dan buat pelajar-pelajar ini ingatan dari saya,

Hormati guru anda, hormati rakan-rakan anda. Sekiranya anda tidak berminat untuk belajar di institusi ini, sila berhenti. UiTM tidak pernah merayu kepada anda untuk belajar di sini. Sila beri peluang kepada orang lain yang benar-benar mahu menuntut dan menghargai ilmu.

Sila berubah atau keluar dari institusi ini.

Khamis, 11 Mac 2010

Ciri-Ciri Orang Yang Beriman ( Siri 1 )


Antara ciri-ciri atau tanda yang menunjukkan seseorang beriman itu ialah:-

Pertama:
Benar-benar berpegang dengan ajaran al-Qur’an. Semua amalan perbuatan mereka dipadankan dengan panduan al-Qur’an. Mereka hanya melakukan apa yang dibenarkan oleh al-Qur’an dan akan menjauhkan mana-mana amalan yang tidak dibenarkan oleh all-Qur’an. Dan mereka juga sentiasa bersemangat untuk mengamalkan al-Qur’an dan juga mengajak orang ramai untuk turut bersama mengamalkannya.

“Orang-orang yang telah Kami berikan Al-Kitab kepada mereka, (dan) mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya (benar-benar mengamalkannya), maka mereka itulah yang beriman dengannya. Dan sesiapa yang engkar dengannya, maka mereka itu adalah orang-orang yang rugi”. Al-Baqarah: 121

Kedua:
Sentiasa melakukan amalan yang soleh. Kerana inilah kita dapati di dalam ayat-ayat suci al-Qur’an, perkataan “orang-orang yang beriman” disertakan dengan “dan melakukan amalan yang soleh”.

“Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik”. Ar-Ra’d: 29.

Ketiga:
Sangat gerun dan takut kepada Allah SWT.

“Mengapakah kamu tidak memerangi orang-orang yang merosakkan sumpah mereka (janji mereka), padahal mereka telah bersungguh-sungguh ingin menghalau Rasul, dan merekalah yang lebih dahulu mulai memerangi kamu? Mengapakah kamu takut kepada mereka? Padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman”. At-Taubah: 13.

“Orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah (para rasul) mereka takut kepadaNya dan mereka tiada merasa takut kepada seorangpun selain Allah. Dan cukuplah Allah sebagai penolong”. Al-Ahzab: 39.

Keempat:
Mencintai Allah dan Rasul melebihi perkara yang lain. Bagi seorang yang beriman, tidak ada kecintaan melebihi kepada kecintaan kepada Allah dan juga RasulNya.

“Dan orang-orang yang beriman sangat-sangat mencintai Allah (melebihi segala-galanya)”. Al-Baqarah: 165.

Kecintaan mereka kepada Allah SWT bukanlah dakwaan semata-mata, namun dibuktikan dengan perilaku mereka.

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah pasti akan mengasihimu dan mengampuni dosa-dosamu". Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Al-Imran: 31.

dipetik dari artikel yang diemelkan kepada kakitangan UiTM Perak oleh Md Azmi Mohd Sukaimi