Rabu, 30 Januari 2008

Bangunan Kompleks Canselor UTP




Bangunan Kompleks Canselor Universiti Teknologi Petronas di Bandar Seri Iskandar, Perak, adalah antara sembilan projek yang terpilih sebagai pemenang Anugerah Seni Bina Aga Khan 2007, anugerah senibina paling berprestij di dunia.


Lapan projek lain yang memenangi anugerah itu ialah Samir Kassir Square (Beirut, Lubnan), Pemulihan Bandar Raya Shibam (Yemen), Central Market (Koudougou, Burkina Faso), Pemulihan Amiriya Complex (Rada, Yemen), Moulmein Rise Residential Tower (Singapura), Pejabat Kedutaan Royal Netherlands (Addis Ababa, Ethiopia), Pemulihan Walled City, (Nicosia, Cyprus) dan sebuah sekolah di Rudrapur (Dinajpur, Bangladesh).


Penerima anugerah ini, yang diadakan setiap tiga tahun, akan berkongsi hadiah wang berjumlah AS$500,000, yang menjadikannya anugerah senibina paling lumayan di dunia.Anugerah ini diperkenalkan pada 1977 oleh Aga Khan, pemimpin ke-49 puak Islam Shiah Ismaili, yang bertujuan meningkatkan kefahaman dan penghargaan terhadap kebudayaan Islam yang dizahirkan melalui seni bina.


Bagi pemilihan kali ini, 343 projek telah dikemukakan untuk pertimbangan dan 27 daripada projek berkenaan telah dinilai di tempat masing-masing oleh pakar antarabangsa.Sebuah Panel Juri bebas memilih sembilan pemenangnya kerana mencapai standard tertinggi daripada segi kecemerlangan seni bina, sambil mencerminkan nilai persekitaran spesifik masing-masing.Anugerah Seni Bina Aga Khan adalah sebahagian daripada projek Amanah Aga Khan bagi Bidang Seni Bina (AKTC), yang melaksanakan pelbagai aktiviti bagi tujuan memulihara dan memperkenalkan warisan barangan serta roh masyarakat Islam.


Kaedah pemilihan pemenang anugerah ini melibatkan pencarian dan pengiktirafan contoh-contoh kecemerlangan seni bina, yang merangkumi reka bentuk kontemporari, perumahan awam, usaha memajukan dan menambah baik masyarakat, pemulihan, penggunaan semula dan pemuliharaan kawasan serta isu berkaitan landskap dan alam sekitar.Ia juga menitikberatkan tentang seni bina, yang bukan saja mampu memenuhi keperluan fizikal, sosial dan ekonomi manusia, tetapi juga mampu merangsang serta memenuhi impian budaya dan rohani mereka.

Tiada ulasan: