Ahad, 7 Disember 2008

Koleksi Pantun (karya sendiri dan sumbangan Dura)

Pohon kempas buat belebas
Tempat semut membuat sarang
Komunikasi pantas bahasa diringkas
Budi susut kesopanan hilang

Sepetang senja mengutip lokan
Hujung muara airnya tenang
Puncak dunia telah ditawan
Itukah tanda bangsa terbilang

Indah permata dibuat kalung
Jalinan erat sisip di julang
Anak muda lagaknya canggung
Celana sendat sepatunya usang

Kuala Kedah nampak berbalam
Suram cahaya menjelang petang
Mahligai indah bertatahkan nilam
Kenapa lena berdiankan bintang

Buah kepayang bawah terendak
Anak bertatih tersadung kaki
Bercerai sayang bertalak tidak
Bernikah kasih tiada berkadi

Indah tembikar bertatahkan nilam
Sayang sedikit sumbing di tepi
Apakah khabar bunga di kolam
Akar melilit pucuknya mati

Indah kejora kian ternampak
Makin berbalam makin berseri
Seksa sengsara dilambung ombak
Andai tak karam susur ke tepi

Sepetang senja mengutip tiram
Di hujung muara dengan perahu
Puas ku baja benih kusiram
Belum berbunga berbuah dahulu

Sudah bersidang beristirehat
Datuk Maharaja tegap berdiri
Berputih tulang menjulang adat
Maruah bangsa tidak dicaci

Anak rubah badannya katik
Termakan belacan matanya juling
Rambut merah pusat bertindik
Badak hairan tenuk pun pening

Duduk bersimpuh si anak dara
Sambil menugal segenggam padi
Jangan angkuh mengikut selera
Sedih yang tinggal memendam hati

Belayar bahtera ke Kuala Kedah
Bawa pulang kursani padu
Didepan mata tidak diendah
Bila dah hilang baru merindu

Hiasan indah dibuat kalung
Rapi ditatah permata biru
Kaduk sudah naik ke junjung
Kenapa si Tuah berlidah kelu

Gendang ditabuh ikut irama
Lemah gemalai tarian ngajat
Bersatu teguh matlamat bersama
Adakah tercapai maksud dan hajat

Tiada ulasan: