Memaparkan catatan dengan label Keluarga Mbok. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keluarga Mbok. Papar semua catatan

Selasa, 19 Oktober 2010

Ahmad Aruani Ikhsan kembali ke Rahmatullah (18/10/2010)


"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." [Al-Imran:185]

Mbok selalu berpesan kepada Wardah, "Jenguk-jenguklah abang Wan (Ahmad Aruani) di Ipoh".

Beliau merupakan sepupu kepada Wardah. Namun, beliau "rapat" dengan keluarga Mbok dan telah menganggap abang Wan sebahagian dari keluarga Mbok. Beliau seorang yang periang, suka berjenaka dan suka "mengena"kan orang. Pasti ada hilai tawa bila beliau hadir.

Beliau bermalam di rumah Mbok di Bagan Datoh semasa urusan pengebumian Mbok. Beliau hadir memberi penghormatan terakhir kepada Mbok.

Saya terkejut apabila menerima berita beliau dimasukkan ke wad ICU Hospital Ipoh pada 16/10/2010 (sabtu). Saya, Wardah dan Abang Hamdan (abang Wardah) bergegas ke Hospital Ipoh lewat malam itu (lebih kurang pukul 11 malam). Alhamdulillah, kami dibenarkan masuk ke wad ICU dan bertemu dengan abang Wan.

Saya melawat beliau sekali lagi keesokan harinya dan tiada perubahan. Pada 18/10/2010, kami mendapat panggilan dari Umi (anak abang Wan) mengatakan keadaan abang Wan makin kritikal. Tepat jam 7:05pm beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Sekali lagi keluarga kami menerima berita sedih. Takziah kami ucapkan buat Kak Misah (isteri abang Wan) dan Umi. Semoga roh Ahmad Aruani Ikhsan (Abang Wan) ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang soleh. AL-FATIHAH

Isnin, 11 Oktober 2010

Pergi Takkan Kembali - Hjh Zainah @ Alpiah Mukti



Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan. [Al-Anbiya':35]

9/10/2010 jam 11:40am, Mbok menghembuskan nafasnya yang terakhir. Punca kematian "advanced lymphoma and multi-organ malfunction".

Selama sepuluh tahun saya mengenali beliau sebagai "ibu", pelbagai nasihat dan tunjuk ajar yang saya perolehi. Mbok seorang yang peramah, mudah mesra, penyayang, agak sensitif adakalanya cerewet. Tetapi kelembutan mbok amat menyentuh hati saya. Sifat keibuan mbok menjadikan beliau "pakar rujuk" bukan sahaja pada anak-anaknya malah jiran-jiran tetangga dan orang-orang kampung. Adakalanya, mbokmenjadi "jaksa pendamai" di kampungnya.

Mbok memaksa saya memahami bahasa jawa (biasanya mbok akan menggunakan bahasa jawa bila berkomunikasi dengan saya). Beliau amat mengambil berat hal anak-anaknya.

Tiada lagi gurauan, tiada lagi senyuman, tiada lagi nasihat yang akan saya perolehi dari mbok. Apa yang pasti, saya akan merindui mbok.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mbok dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang solehah.

AL-FATIHAH

Sabtu, 28 Ogos 2010

Mbok semakin uzur


Semalam saya dan keluarga melawat Mbok (ibu mertua saya) di Hospital Teluk Intan. Semenjak saya berkahwin dengan isteri saya, Wardah, inilah kali pertama saya melihat Mbok (ibu mertua saya) dalam keadaan sugul dan tidak sihat. Beliau kurang bercakap dan tidak ceria.

Mbok disahkan menghidap kanser limfoma lebih kurang 3 tahun yang lepas. Pada ketika itu doktor yang merawat beliau mengatakan bahawa tanpa rawatan "chemotherapy" Mbok hanya mampu bertahan selama 18 bulan sahaja. Mbok tidak mahu melakukan rawatan tersebut kerana berdasarkan pengamatan beliau, rakan-rakan lain yang melakukan rawatan "chemotherapy" melalui proses yang menyakitkan dan kebanyakan dari mereka akhirnya meninggal dunia.

Keluarga Wardah bersepakat untuk mencari rawatan alternatif (Ozone Treatment dan "supplement food") dan Alhamdulillah, keadaan Mbok semakin baik. Beberapa minggu yang lepas, Mbok kembali tidak sihat dan rawatan alternatif yang diamalkan nampaknya tidak memberi kesan yang positif. Mbok kerap demam, muntah-muntah dan tidak sedap badan. Kanser tersebut telah semakin merebak. Kelenjar-kelenjar di seluruh badannya membengkak terutamanya kelenjar di perut beliau, semakin membengkak, mengeras dan membesar.

Sekali lagi, selepas 3 tahun, doktor menyarankan Mbok menjalani rawatan "chemotherapy". Mbok bersetuju kerana doktor tersebut memberi harapan yang bengkak di perutnya akan sembuh selepas rawatan "chemotherapy". Saya secara peribadi, tidak bersetuju Mbok menjalani rawatan tersebut. Mbok telah berusia lebih 80 tahun. Saya risau rawatan tersebut akan lebih memudaratkan lagi (kerana faktor umur Mbok).

Saya doakan Mbok segera sembuh dari kesakitan yang sedang beliau tanggung sekarang ini.

Saya rindukan senyuman dan keceriaan beliau.

Ahad, 27 September 2009

4 & 5 Syawal

Aimi, Chu, Hanis, Huda dan Shida

Yeop (sepupu), Kak Jan (isteri Yeop), Kak Nah (isteri Cho), Shida (anak Yeop) dan Aimi

Liza (menantu Abang Hamdan), Wardah, Udi dan Fathy
Eisya, Sarah dan Nurul (anak Udi)

4 Syawal
Kami sekeluarga pulang ke Seri Iskandar awal pagi kerana singgah beraya di rumah Mak Saudara di Teluk Intan (Nyah Mon). Lebih kurang tengahari kami sampai di Seri Iskandar dan mendapat panggilan dari Huda (adik saya) yang menyatakan hasrat untuk beraya pada petang tersebut. Abang Teh (abang saya) dan Yeop (sepupu saya) akan turut serta (2 buah kereta dan sebuah MPV). Kami dengan segera mereka juadah yang sesuai.

Kemudian kami menerima satu lagi panggilan dari Udi (anak Allahyarham Abang Sapuan, abang ipar saya) yang nak singgah beraya malamnya. Udi dari Pulau Pinang beraya di rumah adik-beradik suaminya. Abang Hamdan dan anak-anaknya dari Ipoh ingin turut serta kerana Udi tak sempat nak beraya di Ipoh di rumah abang Hamdan (1 kereta dan 1 MPV). Menu apa yang sesuai?

Bihun Tom Yam, nasi putih, telur dadar, kuih raya, air sirap dan teh panas. Abang Hamdan turut membawa bekalan makanan tambahan (mi rebus ramli (terkenal di ipoh), roti nan, capati, keropok lekor dan sebagainya). Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar seperti dirancangkan.

Kak Andak & Siti

Wadi, Andak, Kak Andak, Aliya dan Siti

Amru Al-Qais dan Ahnaf Al-Qais

5 Syawal
Malam 4 Syawal, Siti (adik saya) menyatakan hasrat untuk beraya di rumah kami. Siti beraya di Kedah (rumah mertuanya). Sebelum ke rumah saya Siti nak berya di rumah Andak (abang saya) di Siputeh (14 km dari rumah saya). Saya terus menelefon Andak mengajaknya untuk datang ke rumah saya bersama-sama Siti. Saya sekeluarga mengambil kesempatan untuk beraya di rumah Andak bersama-sama Siti. Menu: Bihun Goreng Udang, Nugget Dragon Ball, Nugget Tempura, kuih raya dan air sirap.

Budaya ziarah-menziarahi ini merapatkan lagi ikatan kekeluargaan kami. Saya berdoa semoga ianya akan berterusan. Amin

Khamis, 24 September 2009

Hari Raya ketiga di rumah Mbok

Iqoh, Ipah, Idah dan Amy

Setiap kali Aidilfitri di rumah Mbok (Mak Mertua saya) anak-anak dan menantu-menantunya akan kepenatan kerana memasak dan mengemas. Tetamu yang datang di antara pukul 11:00 pagi - 3:00 petang akan dijamu dengan makan tengahhari (dari Hari Raya pertama hingga Hari Raya ketiga). Tahun ini tidak terkecuali. Pada Hari Raya kedua kami bergotong royong menjamu tetamu-tetamu (kebanyakannya anak-anak buah Mbok dan Allahyarham Bapak dari Sabak Bernam, Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sewaktu dengannya).

Pada Hari Raya ketiga, saya sekeluarga menghadiri Majlis Sua Raya Aidilfitri (Form 6 Sek Men Khir Johari Sg Sumun 92-93). Buat pertama kalinya tugas ini digalas oleh anak anak-anak buah kami (anak Abang Azam), Abang Hamdan selaku chef utama dan dibantu oleh Kak Munah (isteri Abang Hamdan).

Abang Hamdan memuji kecekapan mereka di dapur (memasak dalam kuantiti yang banyak bukan kerja yang mudah). Kepada Amy, Idah, Iqoh dan Ipah terima kasih daun keladi. Tahun depan Insya-Allah kita akan bergotong royong lagi.

Memang ianya memenatkan tetapi kami puas hati. Menyampaikan hajat Mbok dan tetamu pulang dengan senang hati.

Khamis, 18 Jun 2009

Mbok

Semenjak pulang dari kampung (Bagan Datoh), Mbok (ibu mertua saya) tinggal di rumah kami (sementara menunggu temujanji untuk "ozone treatment" akan datang). Anak-anak saya begitu gembira dengan kehadiran Mbah mereka (termasuk saya).

Cuma kebelakangan ini Mbok agak cerewet mungkin kerana tidak betah menetap di tempat "lain". Saya tahu Mbok rindukan rumahnya, ayamnya, kebun kelapanya dan rakan-rakan sekampungnya. Apakan daya, semenjak kesihatannya yang makin tidak menentu (kerap demam menggigil dan bisa-bisa badan) kami mengambil keputusan untuk "menahan" Mbok dari pulang ke kampung dengan alasan "ozone treatment" tersebut. Walaupun keadaan kesihatan Mbok makin baik, Mbok tidak secergas dulu (mungkin kerana faktor umur yang mencecah 80 tahun).

Kebetulan adik-beradik Wardah ramai yang tinggal di Perak. (Abang Hamdan (anak ke 2) di Ipoh, Abang Azam (yang ke 4) di langkap, Abang Akhi (yang ke 5) di Ipoh dan Wardah (yang ke 8) di Seri Iskandar). Rumah kami lebih meriah 2-3 hari kebelakangan ini kerana kerap menerima tetamu (Abang Azam, Abang Akhi dan Abang Hamdan kerap melawat Mbok di rumah kami). Sebelum ini Mbok tinggal dengan abang Hamdan dan abang Akhi.

Selasa, 5 Mei 2009

Mbok & Rawatan Ozone

Mbok mengalami kegatalan di badan, bengkakan di kelenjar-kelenjar dan kaki disamping kesakitan yang teramat sangat (sel kanser tersebut telah mula merebak dengan agak drastik). Makanan tambahan (supplement food) nampaknya tidak lagi berkesan. Mbok kerap terjaga malam dan muntah-muntah. Badannya lemah.

Abang Akhi mula mencari rawatan alternatif yang lain. Ozone treatment/ therapy. Kaedah "pembersihan" darah (kaedahnya seperti mesin hemodialisis).

Kesannya amat positif. Mbok semakin cergas dan bengkakan di kelenjar-kelenjarnya semakin mengecut. Kegatalan di badannya pulih sepenuhnya. Setakat entri ini, Mbok telah membuat rawatan tersebut sebanyak 2 kali dengan kos RM1,600++ (RM800++ sekali rawatan).

Alhamdulillah, kami gembira dengan perkembangan positif Mbok.

Untuk maklumat lanjut sila lawati URL berikut:
http://www.ozoneuniversity.com
http://www.ozonehospital.com

Ahad, 29 Mac 2009

Kesihatan Mbok (Kanser Lymphoma)

Semalam, 28 Mac 2009, saya sekeluarga pulang ke kampong Wardah di Bagan Datoh (kali terakhir kami pulang ke Bagan Datoh pada cuti Tahun Baru Cina yang lepas). Abang Hamdan (abang ipar saya) mengirim ubat penahan sakit yang agak kuat untuk diberikan kepada mbok.

Kebelakangan ini kesihatan mbok makin tidak menentu (kerap demam dan kelenjar-kelenjarnya makin membengkak). Ubat-ubatan biasa tidak lagi berkesan. Abang Akhiyar (abang ipar) ada membelikan makanan tambahan (supplement food) khas untuk penghidap kanser (jenama USANA dan FALICIA) dengan kos melebihi RM500 sebulan. Namun kesan makanan sampingan tersebut dalam melawan sel kanser nampaknya semakin lemah (mungkin kerana faktor umur mbok yang makin lanjut (melebihi 75 tahun)).

Wardah dan saya sempat melayari internet dan memuat turun ayat-ayat Al-Quran penawar sakit kanser dari URL berikut:
http://onebreastbouncing.blogspot.com/
http://www.al-islam.org/Quran/

Mbok mengamalkan ayat-ayat Al-Quran tersebut selepas Solat Fardhu dan Solat Sunatnya. Ayat-ayat Al-Quran tersebut hampir dihafalnya. Mbok sememangnya seorang insan yang tabah. Kesakitannya tidak diceritakan kepada semua orang kecuali anak-anaknya. Orangnya baik hati, lemah lembut, berkesopanan tinggi (warisan Jawa Kraton), memiliki sifat keibuan yang tinggi dan berfikiran positif.

Sebentar tadi saya sempat melayari internet berkenaan pokok jarum tujuh bilah yang dikatakan mempunyai khasiat melawan sel kanser hasil kajian Universiti Putra Malaysia. Wardah dan saya Insya-Allah akan cuba sedaya upaya mendapatkan tumbuhan tersebut sebagai rawatan alternatif.
.
Kami berdoa semoga kesihatan mbok akan bertambah baik. Amin.

Jumaat, 10 Oktober 2008

Peristiwa 1 menjelang Syawal




Fakhri anak tunggal lelaki abang Akhi (abang ipar) terlibat dalam kemalangan jalanraya (dilanggar lari oleh keret MyVi) pada waktu tengahhari 30 Ramadhan ketika mereka bersiap-siap untuk pulang berhari raya di Kedah (kampung Kak Yati).

.

Tulang pehanya (lihat gambar X-Ray), tulang rahangnya dan dagunya patah. Kos pembedahan RM20,000 (tidak termasuk kos perubatan dan wad). Fakhri tidak mempunyai lesen memandu dan kemalangan tersebut berlaku di jalan utama (Fakhri menunggang motor)

.

Suatu pengajaran yang begitu mahal. Semoga Fakhri akan lebih menghargai nilai kekeluargaan dan akan menjadi anak yang taat kepada ibu-bapa.

.

Ahad, 28 September 2008

Raya kat mana?

Mak dan Mak Mertua (Mbok) saya kedua-duanya telah uzur. Mak disahkan menghidap "Multi Organ Malfunction" dan doktor mengatak bahawa Mak hanya boleh ber"tahan" lebih kurang 6 bulan.
.
Mbok pula disahkan menghidap sejenis kanser darah pada akhir tahun 2007 dan doktor menyarankan mbok membuat kimoterapi (tapi mbok tak nak). Tanpa rawatan Mbok dijangka dapat ber"tahan" lebih kurang 2 tahun.
.
Tahun ini sepatutnya kami beraya di rumah Mbok tapi Andak memberi cadangan supaya semua adik-beradik balik kampung pada hari raya pertama. Masalahnya kebanyakan anak-anak Mbok beraya di rumah sendiri/ mertua pada hari raya pertama dan Wardah merupakan ayam tambatan untuk membuat persiapan hari raya.
.
Saya membuat keputusan untuk balik ke rumah Mak esok (Isnin) dan terus ke Bagan Datoh (rumah Mbok) hari Selasa. Kami akan balik ke rumah Mak semula pada hari raya ketiga dan keempat.