Memaparkan catatan dengan label Pelajar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pelajar. Papar semua catatan

Ahad, 4 Disember 2011

Majlis Pra Graduan November 2011

Hari ini sekali lagi saya merasa sayu bila melihat sebahagian pelajar yang menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana Muda Perakaunan di UiTM (Perak) akan menamatkan pengajian mereka. 5 tahun bersama sebahagian para pelajar ini menjadikan mereka begitu "istimewa" bagi saya. Saya pernah mencatat peristiwa yang serupa lebih 2 tahun yang lepas di sini (http://zoolhelmi.blogspot.com/2009/04/minggu-akhir-kelas-semester-april-209.html).

Sebahagian pelajar ini pernah mengikuti lebih dari 2 kursus/subjek bersama saya bermula dari peringkat Diploma (AIS130, MAF270, MAF320, AIS360) hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (MAF635). Mereka telah "masak" dengan perangai saya dan ada yang hampir hafal skrip saya di dalam kelas. Mereka kenal saya dari zaman saya bermisai kontot hingga saya menyimpan janggut.

Saya menolak pelawaan Siti Hajar Mat Isa untuk memberi ucapan pada majlis tersebut kerana saya tahu saya takkan mampu melakukannya dengan baik. Terlalu banyak untuk diperkatakan. Anda semua sememangnya istimewa.

Semoga berjumpa lagi bakal-bakal akauntan sekelian. Dan saya doakan semoga anda semua terus sukses di dunia mahupun di akhirat kelak. Amin

Rabu, 2 Februari 2011

Kupu-kupu dan perjuangan

Seorang anak sedang memperhatikan perjuangan seekor anak kupu-kupu yang berusaha keluar dari kepompongnya. Ia menunggu berjam-jam dan merasa bahawa sang kupu-kupu kecil kelihatannya tidak mampu untuk mengeluarkan dirinya. Oleh kerana merasa kasihan, sang anak mengambil gunting untuk membuat lubang yang lebih besar agar si kupu-kupu itu dapat keluar lebih mudah. Akibat perbuatannya, memang kupu-kupu itu berhasil keluar, tapi otot-otot sayapnya tidak menjadi kuat dan besar sehingga ia tidak dapat terbang.

Sang anak mendapat pelajaran yang sangat berharga, bahawa sang kupu-kupu memerlukan perjuangan yang keras agar supaya otot-otot sayapnya dapat terbentuk. Niat baik sang anak justeru menghasilkan kecacatan kekal bagi sang kupu-kupu yang malang.

Begitulah juga dalam menuntut ilmu. Kesukaran dan kepayahan yang ditempuhi membuatkan kita lebih bersedia menghadapi cabaran di alam pekerjaan. Apa yang saya perhatikan kebelakangan ini, kebanyakan pelajar mengambil mudah dalam menuntut ilmu. Semuanya telah terhidang dan tersedia.

Sewaktu belajar di ITM Shah Alam dahulu, saya berebut menaiki bas mini hampir setiap hari seawal jam 6:30 pagi untuk memastikan saya sampai ke kelas sebelum jam 7:50 pagi. Saya mencatu belanja makan saya setiap hari kerana wang saku bulanan saya hanya RM80 sahaja. Tambang bas mini RM1.20 dua hala setiap hari. Saya juga perlu mengagihkan sedikit wang belanja fotostat. Setelah membuat pengiraan dengan teliti, makan tengahari saya tidak boleh lebih dari RM1.50 sehari. Apa yang saya makan? Nasi putih, 2 keping "fishcake", sedikit sayur dan air suam. Jumlahnya RM1.20. Hampir setiap hari, menu yang sama.

Itu antara kesukaran yang saya lalui semasa belajar dahulu. Dan kerana pengalaman-pengalaman seperti itulah saya menjadi lebih kuat dan tabah. Alhamdulillah.

"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." [Al-Insyirah:5-6]

Cerita kupu-kupu dipetik dari http://jinggo-ecokid.blogspot.com/2011/02/untuk-dikongsikan.html

Rabu, 12 Mei 2010

Tidak Profesional?


Ada pelajar mengkritik saya kerana tidak bersikap "profesional" kerana suatu isu yang saya bangkitkan (berkenaan latihan praktik) dan kemudiannya saya memohon maaf secara terbuka.

Saya membangkitkan isu tersebut untuk pengajaran kepada pelajar yang belum membuat latihan praktik supaya mereka tidak melakukan kesilapan yang sama. Saya tidak berniat untuk memalukan kumpulan pelajar yang sedang melakukan latihan praktik.

Olehkerana ada pelajar yang rasa tersinggung, saya mohon maaf secara terbuka. Pada pandangan sebahagian pelajar lain saya telah "kalah" dengan memohon maaf dan melabel saya seorang yang tidak profesional.

Mungkin saya perlu bersikap ego dan tidak rasional untuk menjadi profesional?

Atau mungkin saya perlu lebih emosional dalam membuat keputusan untuk menjadi profesional?

Ke saya perlu memaki hamun dan mencarut untuk menjadi profesional?

Adakah dengan memohon maaf saya menjadi tidak professional?

Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh. (Al-A'raf:199)

Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, melainkan dengan benar. Dan sesungguhnya saat (kiamat) itu pasti akan datang, maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik.
(Al-Hijr:85)

Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila mereka marah mereka memberi maaf. (Asy-Syuura:37)

Berdasarkan ayat-ayat di atas, saya rela untuk menjadi tidak professional.

Kepada si mulut celupar ini, awak tahu ke makna professional?

Jumaat, 23 April 2010

Silap di mana ya??

Saya menerima mesej di Facebook (di wall saya di mana semua orang boleh membacanya). Mesej tersebut dari pelajar saya yang bakal menduduki peperiksaan akhir untuk kertas ETR300 (asas keusahawanan). Pelajar tersebut antara pelajar-pelajar yang agak "kurang sopan" di dalam kelas saya, di mana saya telah nyatakan dalam entri sebelum ini (klik di sini). Mesej tersebut seperti di bawah.

Mungkin apa yang saya tulis itu bunyinya agak kasar. Sebenarnya saya agak marah pada ketika itu selepas terbaca entri ini (yang menunjukkan status pelajar tersebut) sebelum peperiksaan tersebut (ketika mereka sibuk menyiapkan "business plan")
Selepas saya membalas mesej pelajar tersebut, dia bertindak memadam kesemua mesej dan entri di atas. (Dia terlupa saya seorang pensyarah yang celik IT dan telah menyimpan "softcopy" entrinya). Kemudiannya pelajar itu menghantar "private message" kepada saya.

Saya menulis entri ini bukan untuk memalukan pelajar tersebut sebaliknya saya mahu orang lain (terutamanya yang masih belajar) mengambil iktibar. Semoga Allah membuka pintu hati pelajar-pelajar ini untuk berubah. Amin.

Rabu, 7 Oktober 2009

Pelajar AC3A beraya di rumah saya








"En. Zool minta alamat, kami nak beraya kat rumah encik."


"Berapa orang yang nak datag?"


"lebih kurang 25 orang"


Sabtu lepas lebih kurang 18 orang pelajar semester 3 Diploma Perakaunan datang ke rumah saya untuk beraya. Mereka merupakan pelajar yang mengikuti kursus MAF220 (Costing 1). Jumlah pelajar di dalam kelas tersebut melebihi 40 orang tetapi tidak semua datang. Kebanyakan dari mereka balik bercuti di rumah masing-masing.


Mereka merupakan antara pelajar-pelajar saya yang baik dari segi perlakuan, tatacara dan menghormati orang yang lebih tua. Wardah dan saya berasa senang menerima mereka sebagai tetamu.


Menu: Kuey Tiau Sup Daging (dan aweh-awehnya), Agar-agar jagung, kuih raya dan Air Berry.


Sambal kicapnya pedas dari biasa menyebabkan ramai di antara mereka kepedasan.

Khamis, 13 Ogos 2009

Kanser Usus


Salah seorang pelajar saya, Sofian (nama penuh beliau saya tak ingat) telah disahkan menghidap kanser usus tahap 2 beberapa minggu yang lepas. Beliau menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di dalam usus dan rawatan kimoterapi di salah sebuah hospital di Pulalu Pinang. Dua hari lepas, saya dimaklumkan oleh Tuan Hj. Hatta (Ketua Koordinator Fakulti Perakaunan) bahawa beliau dibedah sekali lagi kerana ususnya pecah. Saya difahamkan bahawa ususnya terbelit.

Sofian merupakan seorang pelajar yang tekun dan agak pendiam. Beliau begitu menghormati pensyarah-pensyarahnya. Beliau sentiasa duduk di hadapan semasa mengikuti kursus yang saya ajar.

Saya mohon kepada semua untuk turut mendoakan agar Sofian sihat dan dapat meneruskan pengajian beliau di peringkat ijazah sarjana muda perakaunan semula.

(Gambar Sofian saya perolehi dari koleksi gambar dalam FB Ummu Saadah)

Jumaat, 24 Julai 2009

Pindaan Cuti Pertengahan Semester UiTM




Gara-gara penularan wabak H1N1/ URTI/ ILI di UiTM (Perak, Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Pahang), Naib Canselor Tan Sri Dato' Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah mengumumkan pindaan tempoh cuti pertengahan semester di kesemua sistem UiTM bermula dari 27 Julai 2009 hingga 2 Ogos 2009.

Implikasinya, saya tidak perlu menggantikan kelas. Alhamdulillah, tak perlu pelajar-pelajar saya kelam-kabut menghadiri kuliah malam atau kuliah hujung minggu.

Kepada pelajar-pelajar yang dijangkiti wabak H1N1/ URTI/ ILI, jaga kesihatan anda dan patuhi arahan isolasi/ kuarantin supaya anda semua cepat sembuh dan dapt meneruskan pengajian seperti biasa.

Selasa, 21 Julai 2009

Bergurau dan serius

Ramai rakan saya mengatakan bahawa saya ni seorang yang kuat bergurau. Ada saja usikan (kalau bulan tak mengambang) tak kira siapa (pernah saya ter"bergurau" dengan dekan semasa perjumpaan dengan pensyarah perakaunan Uitm Perak).

Semalam diadakan perjumpaan mentor-mentee (pensyarah menjadi mentor kepada pelajar yang lemah dalam pelajaran (CGPA di bawah 2.30)) .Semasa saya memberi khidmat konsultansi dan motivasi kepada pelajar tersebut, tiba-tiba datang seorang pensyarah dan berkata"Jangan percaya sangat cakap En. Zool ni, dia ni bukan betul sangat". (Saya agak rapat dengan pensyarah ini dan sering me"ngusik" beliau).

Isk.. Isk.. Isk.. Apa lah pensyarah ni. Nak bergurau pun agak-agak le. Pensyarah ni seorang yang lemah-lembut, bertudung labuh dan baik orangnya, cuma gurauan itu amat tidak kena pada tempatnya. Bila saya meletakkan diri saya ditempat pelajar tersebut pasti saya rasakan pensyarah-pensyarah ini tidak mengambil serius program mentor-mentee tersebut dan memperlekehkan dirinya.

Saya menjawab gurauan tersebut secara bersahaja, "Kalau saya tipu (mengenai teknik belajar, yang saya ceritakan kepada pelajar tersebut) saya takkan jadi pensyarah sekarang.Tapi itu teknik belajar yang saya gunakan, mungkin tak sesuai dengan awak (pelajar tersebut), tetapi teknik ini amat berkesan pada saya." Pelajar itu kelihatan yakin dengan saya.

Saya doakan mentee saya lebih bersemangat dalam pelajarannya dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir semester ini.

Ahad, 17 Mei 2009

Selamat Hari Guru

Saya melihat diri saya seorang guru, walaupun tiada seorang pun pelajar saya memanggil saya cikgu (kecuali auntie kedai sayur depan rumah saya dan auntie kedai gambar di Batu Gajah). Namun setiap kali hari guru saya tetap menerima beberapa ucapan melalui "SMS" dari pelajar-pelajar saya. Tahun ini saya menerima "SMS" ucapan hari guru dari Kartini, Muhammad Zulhilmi, Faizal dan Nadia. Terima kasih saya ucapkan.

"SMS" tersebut amat bermakna buat saya.

Saya mendapat pendidikan awal saya di Sekolah Keb. Pendita Za'ba Tapah Road. Antara guru-guru yang pernah mendidik saya termasuklah Cikgu Ahmad Jakhisi, Cikgu Hamid (Allahyarham), Cikgu Normah, Cikgu Hanif, Cikgu Meor, Cikgu Leman (Allahyarham), Ustazah Habsah, Cikgu Halimaton Saadiah, Cikgu Fauziah (dan ramai lagi yang saya terlupa namanya)

Kemudiannya saya mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh Kerajaan, SEMESTI. Antara guru-guru yang pernah mengajar saya:
Cikgu Zubaidah, Cikgu Zuraidah, Ustaz Shukri, Ustazah Asmah, Ustazah Nik Hasmah, Ustaz Mail, Cikgu Ramli, Cikgu Maznah, Cikgu Rajendra, Cikgu Azizan, Ms Ooi, Miss Ee, Cikgu Mat Nor, Ustaz Mokhtar, Ustaz Wan, Cikgu Maria, Cikgu Hasni, Cikgu Sofea, Cikgu Faizah, Cikgu Nasir, Cikgu Salahuddin, Cikgu Norkiahanum, Cikgu Bibah, Cikgu Syikin, Cikgu Baharuddin, Cigu Adenan (dan ramai lagi yang saya mungkin terlupa taipkan di sini)

Saya menyambung pelajaran saya ke peringkat Diploma, Advanced Diploma dan Ijazah Sarajana di ITM dan UiTM. Antara pensyarah-pensyarah saya:
Pn. Junaini, Pn. Saluana, Ustaz Labu, Pn Nik, Dr Haidar, Pn. Maziah, En. Kadir, En Rahman (Allahyarham), Tn Hj Salleh, En Norazam, Prof Dr Jo, Prof Sayed Nazim, Prof Dr Kamil, Pn Jagjit, Mr Andrew, Dr Kole, Mr Viju, Mr Abu Tahir, Pn Norhanim dan ramai lagi (terlalu panjang untuk saya senarai kan kesemua pensyarah saya dari Diploma hingga ke Ijazah Sarjana)

Kepada semua guru-guru saya;
Selamat Hari Guru.

Isnin, 11 Mei 2009

Nota-nota





"En. Zool jangan padam tau, nanti kalau saya jadi pensyarah kat sini saya nak tengok notes ni ada lagi..." kata salah seorang pelajar saya sambil meninggalkan lakaran di papan putih di bilik saya. "Suka hati awaklah...." jawab saya ringkas.

Ada sesetengah orang suka meluahkan perasaan mereka melalui lisan atau tulisan. Beberapa orang pelajar saya pernah memberi hadiah kepada saya. Mungkin sebagai tanda penghargaan kepada guru mereka.

Ada yang memberikan kad, ada yang melakar di papan putih di bilik saya dan ada yang meninggalkan nota di bahagian akhir kertas jawapan peperiksaan akhir (mungkin talian hayat yang terakhir agaknya).

Takut-takut nota-nota tersebut hilang dari ingatan saya, saya letakkan "softcopy"nya di sini.

Ahad, 10 Mei 2009

Pelajar unik dan istimewa

Sepanjang menjadi pendidik di UiTM, saya dipertemukan dengan beberapa insan yang unik dan istimewa di kaca mata saya. Antaranya Khairul Nizam (Nirmala), Mahadhir, Mior, Nurzuliatiy, Shikin, Farhana, Mashitah, Syed Adil, Firdaus dan ramai lagi (sebenarnya saya dah tak ingat namanya :P). Semester yang lepas saya dipertemukan dengan seorang lagi pelajar istimewa, Nor Ain Fazreen.

Saya kenali pelajar ini ketika di Semester 3, pelajar yang menduduki semula dua kertas Semester 1 (AIS130 dan MAT126) kerana gagal dalam kedua-dua subjek tersebut. Fazreen seorang yang gigih. Fazreen banyak bertanya ketika dalam kelas dan memberi tumpuan ketika saya mengajar di dalam kelas.

Saya mengajar Fazreen sekali lagi di Semester 6 untuk subjek E-Commerce (AIS360). Ternyata Fazreen telah menjadi pelajar cemerlang. Fazreen telah membuktikan bahawa kita boleh bangkit dari kegagalan dan menempa kejayaan jika kita berusaha dengan gigih. Fazreen mendapat markah tertinggi dalam kelasnya untuk subjek AIS360 dan mendapat keputusan yang baik dalam beberapa subjek yang lain. Saya percaya Fazreen akan berjaya dalam hidupnya.

Saya berdoa semoga lebih ramai pelajar-pelajar saya mencontohi semangat Fazreen untuk berjaya.

Isnin, 13 April 2009

Program Kecemerlangan Akademik ke 15

Bersama antara pelajar-pelajar cemerlang bahagian 6 April 2009 (Alfi, Rozana, Afiqah, Naimah dan Isfahani)


Naimah, Enny dan Musang Terbang


Program Kecemerlangan Akademik ke 15 diadakan di Kem Nur Lembah Lenggong dari 11 – 13 April 2009. Antara yang terlibat termasuklah pensyarah-pensyarah Fakulti Perakaunan (sebagai penganjur dan fasilitator), pelajar-pelajar cemerlang bahagian 6 (sebagai fasilitator) dan pelajar-pelajar bahagian 2 hingga 5 (sebagai peserta).

Antara aktiviti-aktivitinya termasuklah sesi LDK, treasure hunt, jungle trekking dan flying fox. Pada saya program ini merupakan program PKA yang terbaik dari segi kesannya kepada pelajar. Pendekatan yang begitu efektif menggunakan rakan sebaya (pelajar cemerlang bahagian 6) sebagai fasilitator, lebih kepada berkongsi pengalaman secara "informal".

Minggu Akhir Kelas Semester April 2009





Saya telah menjadi pendidik hampir 9 tahun dan telah mengajar ratusan pelajar. Namun golongan pelajar yang bakal meninggalkan Fakulti Perakaunan UiTM Perak semester April 2009 ini antara kumpulan pelajar “istimewa” kepada saya.

Saya mengajar kumpulan pelajar seramai 260 orang ini untuk 4 kursus perakaunan iaitu “Computer application in Accounting”, “Costing 2”, “Costing 3” dan “E-Commerce”. Ada di antara pelajar ini yang saya mengikuti kelas saya lebih dari sekali. Saya rasa agak akrab dengan kumpulkan pelajar-pelajar ini, tambahan pula kebanyakan mereka ini pelajar yang baik dari segi pelajaran mahupun adabnya.

Minggu sudah merupakan minggu terakhir kelas “E-Commerce” di mana semua pelajar tersebut akan membentangkan projek laman web masing-masing. Sempat saya memberi sedikit pesanan dan mengambil gambar bersama-sama mereka.

Saya agak “sedih” kerana mereka bakal menamatkan pengajian mereka di UiTM Perak, bermakna berkemungkinan besar saya tidak lagi berjumpa mereka semua. Beberapa watak, nama dan karektor menyebabkan saya terasa begitu rapat dengan kumpulan ini.

Antaranya Zaid, Minah, Aishah, Hajar, Ila, Mimi, Athirah, Syafiqah, Laini, Afiqah, Isfahani, Alfi, Rozanna, Azizah, Liza, Aidil, Meor, Hafez, Najwa, Balqis, Ayu, Adhariah, Naziah, Nazihah, Hafizuddin, Naimah, Fatin, Nor Ain Fazreen, Saqenah, Rahmat, Zulfaqar, Asnida, Aimi, Amy, Laila, Syiqin, Raihan, Zahidan, Kartini, Noor Rita, Jannah, Anis, Sanirah, Alice, Orina, Khatijah, Irwannie, Farhana, Fadhilah, Fariza, Izad, Muhammad, Syaiful, Izzat, Izzah, Ainul dan ramai lagi (maaf kerana terlalu ramai untuk saya senaraikan).

Saya mendoakan kejayaan pelajar-pelajar kumpulan ini. Semoga segala ilmu yang saya curahkan akan digunakan untuk tujuan kebaikan. Saya juga berharap agar dapat terus berhubung dengan mereka di masa hadapan. Amin.

Selasa, 10 Mac 2009

Nasihat kepada pelajar saya

Saya menasihati anak murid saya supaya tidak menjual apatahlagi membuang buku-buku teks berkaitan dengan perakaunan. Saya menekankan kepentingan ilmu dan kegunaan buku tersebut di masa hadapan. Saya memberi contoh di mana salah seorang bekas pelajar saya menelefon saya bertanyakan masalah perakaunan akibat ketiadaan buku rujukan (kerana buku-buku teks tersebut diwariskan kepada "junior-junior"nya).
.
Tiba-tiba seorang pelajar bertanya
"Encik Zool simpan ke buku-buku En Zool masa Diploma dulu?".
.
Saya menjawab,
"Tak. Saya bagi kat "ex-awek" saya. Tapi last-last kawin dengan orang lain. Hmm awak semua ni jangan bercinta bagai nak gila masa belajar ni. Buang karan je. Bla, bla, bla, bla..........".
.
Dan bebelan itu berterusan.

Isnin, 9 Mac 2009

Program Pembangunan Pelajar Modul 4 (Kenegaraan)







Saya menjadi fasilitator untuk Program Pembangunan Pelajar (PPP) UiTM Perak. Pada awalnya saya hanya terlibat untuk modul 5, persiapan pelajar menghadapi pekerjaan (bagaimana hendak menghadapi temuduga, mencari pekerjaan dan sebagainya).

Semester saya juga turut terlibat PPP modul 4 (Kenegaraan), menerapkan semangat patriotisme kepada pelajar-pelajar. Menarik tetapi panas.

Ahad, 8 Mac 2009

Terharu


Sebagai pendidik, saya tidak mengharapkan apa-apa dari anak didik. Cukup sekadar ilmu yang saya sampaikan difahami dan digunakan ke arah yang baik.

Saya sedaya-upaya cuba untuk berlaku saksama kepada semua pelajar saya dan tidak memilih pelajar atau berat sebelah (walaupun pada hakikatnya di dalam hati saya ada pelajar yang menjadi pelajar yang saya "suka" terutamanya mereka yang berada di barisan hadapan kelas).

Namun acap kali penghargaan atau ucapan terima kasih saya terima dari pelajar yang bukan dari golongan pelajar tersebut. Mungkin saya telah berjaya berlaku saksama kepada pelajar-pelajar saya.
Wallahhua'lam.

Semalam, semasa Malam Kecemerlangan Fakulti Perakaunan, saya menerima sekuntum bunga dari seorang pelajar tahun akhir dengan ungkapan berikut.

"Bringing a special Thank You as sincere as can be; It sure was nice of you to be so nice to me".

Saya begitu terharu kerana pelajar ini bukanlah pelajar yang saya beri tumpuan di dalam kelas kerana beliau merupakan pelajar yang cerdik. (Saya lebih suka menumpukan perhatian kepada pelajar yang sederhana dan yang lemah).
Saya mendoakan semoga pelajar-pelajar saya ini berjaya di dunia mahupun di akhirat. Amin.

Ahad, 19 Oktober 2008

Jamuan raya 2008 (untuk "student" je)









Pada Jumaat lepas saya dan Wardah bersetuju untuk mengadakan jamuan hari raya yang ringkas untuk pelajar-pelajar saya (lebih kurang 100 orang kesemuanya).

.

Menu: bihun goreng, roti jala, tart telur, agar-agar merah, air strawberry.

Jumaat, 17 Ogos 2007

Allahyarhamah Siti Khalisah


Beliau merupakan bekas pelajar Fakulti Perakaunan yang cemerlang dari segi akademik (anugerah naib canselor) dan aktif dalam persatuan (naib presiden PERSIDA). Beliau ke rahmatullah pada hari rabu 15/8/2007. Saya tidak mengenali beliau secara terus kerana beliau tidak pernah menjadi pelajar saya.


Namun kisah beliau amat menyentuh hati saya. Ibubapa beliau merupakan orang yang agak susah namun sepanjang pengajian beliau di UiTM Perak tidak pernah sekalipun beliau menunjukkan kesusahan yang beliau hadapi.


Beliau koma selama beberapa hari kerana hati dan buah pinggang beliau rosak sepenuhnya. Dalam diagnosis doktor kemungkinan akibat demam denggi atau alahan kepada ubat. (Menurut doktor beliau terlalu bergantung kepada "paracetamol" dan mengambilnya dalam jumlah yang banyak secara berterusan).


Al-fatihah......