Rabu, 29 Oktober 2008

Berakhirnya penderitaan Mak

Kesihatan Mak semakin membimbangkan sejak dua tahun yang lepas (pada ketika beliau kerap keluar-masuk hospital kerana masalah paru-paru berair). Sejak Allaryarham Cho meninggal dunia keadaan Mak semakin kritikal (Mak semakin pasif). Saya semakin kurang berinteraksi dengan beliau, cuma sekali-sekala menukarkan lampin beliau, menolong Abang Teh mencuci luka Mak dan menggaru belakang badan Mak (kegagalan buah pinggang dan hati berfungsi menyebabkan toksin dinyahkan melalui kulit mengakibatkan kegatalan pada kulit badan Mak).
.
Abang Teh adalah anak yang paling banyak memainkan peranan menjaga Mak (semasa berulang-alik ke Hospital Besar Ipoh, Mak menginap di rumah Abang Teh). Abang Teh kerap pulang ke Tapah Road melawat dan menjaga Mak. Malah Abang Teh menolak tawaran kenaikan pangkatnya (menjadi Pengarah Audit Perlis) kerana mahu menjaga Mak. Abang Teh sempat memandikan Mak (dengan bantuan pembantu rumah) pada pagi hari Sabtu 25 Oktober 2008. Mak begitu gembira dan ketawa ketika dimandikan (mandian terakhir Mak semasa hayatnya).
.
Pada 25 Oktober 2008, kami adik-beradik pulang ke kampung untuk menjenguk Mak (kebetulan hari Isnin cuti perayaan Deepavali). Keadaan Mak mulai kritikal sejak pukul 8:00 malam. Mak mengalami kesukaran bernafas dan perutnya membengkak. Kegagalan buah pinggang dan hati berfungsi mengakibatkan air tidak dapat keluar dari badan Mak.
.
Saya, Abang teh dan Kak Jan (Isteri Yeop, sepupu saya) bergegas ke klinik swasta di Tapah dengan harapan doktor klinik swasta tersebut dapat membuat rawatan di rumah. Kami seboleh-bolehnya tidak mahu Mak dimasukkan ke hospital kerana Mak amat sukar membuat pergerakan selepas kakinya dipotong. Mak tidak boleh mengambil ubat tahan sakit (pain killer) kerana masalah buah pinggang Mak. (Sebagai seorang anak saya amat sedih kerana tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengurangkan penderitaan Mak.)
.
Pada pendapat doktor jika Mak dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut , Mak hanya mampu bertahan 2-3 minggu. Sebaliknya, Mak hanya dapat bertahan 2-3 hari. Doktor menyarankan kami agar membawa Mak ke hospital segera. Saya menelefon Hospital Tapah untuk bantuan ambulan namun talian gagal dicapai. Saya, Abang teh, Kak Nah (isteri Cho), Andak, Kak Uda, Chu dan Siti berbincang semula. Akhirnya kami membuat keputusan untuk tidak membawa Mak ke hospital kerana keadaan Mak yang kritikal pada ketika itu.
.
Mak menghembuskan nafas terakhirnya pada 10:50pm 25 Oktober 2008 di rumah selepas menderita komplikasi pelbagai penyakit (kencing manis, lemah jantung, tekanan darah rendah, paru-paru berair, kanser hati, batu karang dalam hempedu, pendarahan dalam usus dan batu karang dalam hempedu). Perasaan saya bercampur-baur (sedih kerana ibu kandung saya telah tiada dan saya juga berasa lega kerana penderitaan Mak telah berakhir).
.
Kepada pembaca entri ini saya berharap agar tuan-puan dapat sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah ibu saya. Al-Fatihah

Ahad, 19 Oktober 2008

Jamuan raya 2008 (untuk "student" je)









Pada Jumaat lepas saya dan Wardah bersetuju untuk mengadakan jamuan hari raya yang ringkas untuk pelajar-pelajar saya (lebih kurang 100 orang kesemuanya).

.

Menu: bihun goreng, roti jala, tart telur, agar-agar merah, air strawberry.

Jumaat, 17 Oktober 2008

Kesihatan Mak semakin membimbangkan

Semalam Alang membawa Mak ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan Mak. Doktor memaklumkan bahawa keadaan kaki kiri Mak semakin teruk akibat "Gangrene" dan terpaksa dipotong hinggan ke paras lutut. Keadaan kaki kanan Mak juga tidak berapa baik (Aliran darah tidak sampai ke kaki dan kebanyakn organ dalaman Mak berfungsi di tahap minima). Kemungkinan besar pembedahan itu akan dijalankan hari ini.
.
Berita yang agak melegakan kami bila Alang memaklumkan bahawa pembantu rumah telah diperolehi (sedikit sebanyak akan meringankan beban Chu dalam menguruskan rumah dan keluarga).

Selasa, 14 Oktober 2008

Budaya telefon bimbit dan SMS

Pada awalnya, kewujudan telefon bimbit memudahkan urusan seharian (kita mudah untuk dihubungi, mobiliti dan sebagainya). Dengan wujudnya gelombang digital telefon bimbit berubah dari era 1G ke 2G (membolehkan penggunanya menggunakan perkhidmatan Short Message Services (SMS) atau khidmat pesanan ringkas. Maka wujudlah masalah-masalah berikut:
.
1) Budaya SMS, orang jarang-jarang menelefon. Kad raya semakin berkurangan, jemputan menggunakan sms dan sebagainya.
.
2) Bahasa ringkas yang merosakkan nilai bahasa, contohnya pas 2 (selepas itu), Akum (Assalamualaikum) dan sebagainya.
.
3) Gangguan dala majlis, contohnya telefon berdering ketika solat Jumaat, pelajar "main" SMS ketika pensyarah mengajar dan sebagainya.
.
Secara peribadinya, saya rasa kecewa kerana kebelakangan ini saya kerap menerima mesej-mesej yang tidak "sedap" dibaca. Ada perkara-perkara tertentu yang tidak sesuai menggunakan SMS, contohnya pelajar bertanya masalah akaun menggunakan SMS, undangan majlis rasmi (perkahwinan, pertunangan dan seumpamanya), perbincangan perkara-perkara khusus yang melibatkan penerangan yang panjang lebar dan sebagainya.
.
Pada pendapat saya SMS hanya boleh digunakan untuk urusan tidak rasmi, untuk "chit-chat" ringkas dan penyampaian maklumat ringkas dengan segera (contohnya ketika pemergian Allahyarham abang saya, saya menghantar SMS kepada rakan-rakan saya untuk memaklumkan hal tersebut, namun saya menelefon keluarga dan sahabat rapat untuk penerangan lanjut.)
.
Kita masih ada adab,adat dan nilai murni yang harus dijaga. Jangan biarkan budaya ini merosakkan nilai-nilai murni tersebut.

Dr. Muhd Kamil Ibrahim dan Falsafah MIM

Saya telah terpilih secara "paksa rela" oleh ketua jabatan untuk mengikuti siri ceramah ini semalam di Dewan Seri iskandar (DSI) UiTM Perak. Penceramahnya Dr. Muhd Kamil Ibrahim (bekas pensyarah saya) dan kupasannya amat menarik di mana beliau mengaitkan pengalaman beliau menunaikan fardhu Haji dengan falsafah MIM itu sendiri.
.
Cara penyampaian beliau amat efektif dan hampir kesemua pendengar ter"pukau" dan tersentuh dengan cerita dan penyampaian beliau yang diselang-selikan dengan dakwah (Pada pendapat saya beliau jauh lebih baik dalam berdakwah berbanding sebilangan ustaz-ustaz yang saya kenali). Semalam saya faham apa yang dimaksudkan dengan "teruja" (yang tertulis dalam blog beliau) untuk memberi ceramah kerana sememangnya beliau seorang penceramah dan motivator yang amat baik.
.
(Falsafah MIM merupakan sebuah buku nukilan Dato' Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah berkenaan nilai-nilai negatif yang ada pada orang melayu yang di "positif"kan, nak tahu lebih lanjut kena baca sendiri).

Jumaat, 10 Oktober 2008

Peristiwa 2 menjelang Syawal

Pada 30 Ramadhan, Abang Teh membawa Mak ke Hospital Tapah untuk "dressing" luka di kaki Mak. Doktor mengesahkan jari manis kaki kiri Mak mesti dipotong segera kerana "gangrene".
.
Pada malam 1 Syawal Mak dibawa ke Hospital Teluk Intan dan jari tersebut dipotong bagi mengelakkan luka/ sel mati tersebut dari terus merebak. Seterusnya setiap hari Mak perlu melakukan "dressing' di Hospital Tapah.
.
Semalam saya menelefon Abang Teh (Abang Teh membawa Mak ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut), keadaan Mak makin teruk. Jari kelingking dan jari hantu jari kaki kirinya mungkin terpaksa dipotong akibat "gangrene".
.
Ya Allah permudahkanlah urusan kami sekeluarga dan ringankanlah penderitaan ibu kami. Amin.

Peristiwa 1 menjelang Syawal




Fakhri anak tunggal lelaki abang Akhi (abang ipar) terlibat dalam kemalangan jalanraya (dilanggar lari oleh keret MyVi) pada waktu tengahhari 30 Ramadhan ketika mereka bersiap-siap untuk pulang berhari raya di Kedah (kampung Kak Yati).

.

Tulang pehanya (lihat gambar X-Ray), tulang rahangnya dan dagunya patah. Kos pembedahan RM20,000 (tidak termasuk kos perubatan dan wad). Fakhri tidak mempunyai lesen memandu dan kemalangan tersebut berlaku di jalan utama (Fakhri menunggang motor)

.

Suatu pengajaran yang begitu mahal. Semoga Fakhri akan lebih menghargai nilai kekeluargaan dan akan menjadi anak yang taat kepada ibu-bapa.

.