Kesihatan Mak semakin membimbangkan sejak dua tahun yang lepas (pada ketika beliau kerap keluar-masuk hospital kerana masalah paru-paru berair). Sejak Allaryarham Cho meninggal dunia keadaan Mak semakin kritikal (Mak semakin pasif). Saya semakin kurang berinteraksi dengan beliau, cuma sekali-sekala menukarkan lampin beliau, menolong Abang Teh mencuci luka Mak dan menggaru belakang badan Mak (kegagalan buah pinggang dan hati berfungsi menyebabkan toksin dinyahkan melalui kulit mengakibatkan kegatalan pada kulit badan Mak).
.
Abang Teh adalah anak yang paling banyak memainkan peranan menjaga Mak (semasa berulang-alik ke Hospital Besar Ipoh, Mak menginap di rumah Abang Teh). Abang Teh kerap pulang ke Tapah Road melawat dan menjaga Mak. Malah Abang Teh menolak tawaran kenaikan pangkatnya (menjadi Pengarah Audit Perlis) kerana mahu menjaga Mak. Abang Teh sempat memandikan Mak (dengan bantuan pembantu rumah) pada pagi hari Sabtu 25 Oktober 2008. Mak begitu gembira dan ketawa ketika dimandikan (mandian terakhir Mak semasa hayatnya).
.
Pada 25 Oktober 2008, kami adik-beradik pulang ke kampung untuk menjenguk Mak (kebetulan hari Isnin cuti perayaan Deepavali). Keadaan Mak mulai kritikal sejak pukul 8:00 malam. Mak mengalami kesukaran bernafas dan perutnya membengkak. Kegagalan buah pinggang dan hati berfungsi mengakibatkan air tidak dapat keluar dari badan Mak.
.
Saya, Abang teh dan Kak Jan (Isteri Yeop, sepupu saya) bergegas ke klinik swasta di Tapah dengan harapan doktor klinik swasta tersebut dapat membuat rawatan di rumah. Kami seboleh-bolehnya tidak mahu Mak dimasukkan ke hospital kerana Mak amat sukar membuat pergerakan selepas kakinya dipotong. Mak tidak boleh mengambil ubat tahan sakit (pain killer) kerana masalah buah pinggang Mak. (Sebagai seorang anak saya amat sedih kerana tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengurangkan penderitaan Mak.)
.
Pada pendapat doktor jika Mak dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut , Mak hanya mampu bertahan 2-3 minggu. Sebaliknya, Mak hanya dapat bertahan 2-3 hari. Doktor menyarankan kami agar membawa Mak ke hospital segera. Saya menelefon Hospital Tapah untuk bantuan ambulan namun talian gagal dicapai. Saya, Abang teh, Kak Nah (isteri Cho), Andak, Kak Uda, Chu dan Siti berbincang semula. Akhirnya kami membuat keputusan untuk tidak membawa Mak ke hospital kerana keadaan Mak yang kritikal pada ketika itu.
.
Mak menghembuskan nafas terakhirnya pada 10:50pm 25 Oktober 2008 di rumah selepas menderita komplikasi pelbagai penyakit (kencing manis, lemah jantung, tekanan darah rendah, paru-paru berair, kanser hati, batu karang dalam hempedu, pendarahan dalam usus dan batu karang dalam hempedu). Perasaan saya bercampur-baur (sedih kerana ibu kandung saya telah tiada dan saya juga berasa lega kerana penderitaan Mak telah berakhir).
.
.
Kepada pembaca entri ini saya berharap agar tuan-puan dapat sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah ibu saya. Al-Fatihah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan