Ahad, 7 Disember 2008

Koleksi Pantun (karya sendiri dan sumbangan Dura)

Pohon kempas buat belebas
Tempat semut membuat sarang
Komunikasi pantas bahasa diringkas
Budi susut kesopanan hilang

Sepetang senja mengutip lokan
Hujung muara airnya tenang
Puncak dunia telah ditawan
Itukah tanda bangsa terbilang

Indah permata dibuat kalung
Jalinan erat sisip di julang
Anak muda lagaknya canggung
Celana sendat sepatunya usang

Kuala Kedah nampak berbalam
Suram cahaya menjelang petang
Mahligai indah bertatahkan nilam
Kenapa lena berdiankan bintang

Buah kepayang bawah terendak
Anak bertatih tersadung kaki
Bercerai sayang bertalak tidak
Bernikah kasih tiada berkadi

Indah tembikar bertatahkan nilam
Sayang sedikit sumbing di tepi
Apakah khabar bunga di kolam
Akar melilit pucuknya mati

Indah kejora kian ternampak
Makin berbalam makin berseri
Seksa sengsara dilambung ombak
Andai tak karam susur ke tepi

Sepetang senja mengutip tiram
Di hujung muara dengan perahu
Puas ku baja benih kusiram
Belum berbunga berbuah dahulu

Sudah bersidang beristirehat
Datuk Maharaja tegap berdiri
Berputih tulang menjulang adat
Maruah bangsa tidak dicaci

Anak rubah badannya katik
Termakan belacan matanya juling
Rambut merah pusat bertindik
Badak hairan tenuk pun pening

Duduk bersimpuh si anak dara
Sambil menugal segenggam padi
Jangan angkuh mengikut selera
Sedih yang tinggal memendam hati

Belayar bahtera ke Kuala Kedah
Bawa pulang kursani padu
Didepan mata tidak diendah
Bila dah hilang baru merindu

Hiasan indah dibuat kalung
Rapi ditatah permata biru
Kaduk sudah naik ke junjung
Kenapa si Tuah berlidah kelu

Gendang ditabuh ikut irama
Lemah gemalai tarian ngajat
Bersatu teguh matlamat bersama
Adakah tercapai maksud dan hajat

Sabtu, 6 Disember 2008

Cempedak Jadi Nangka



Saya pernah mewakili Fakulti Perakaunan UiTM Perak ke Pesta Pantun peringkat UiTM, tanpa disangka-sangka kami (Dura, Naimah AY dan saya) menjadi juara pada tahun 2006. Pada tahun 2007 saya mewakili pasukan UiTM 2 ke Pesta Pantun peringkat negeri Perak dan berjaya mendapat tempat ketiga.
.
Pada 28 November 2008, saya mendapat panggilan dari En. Syahrin (Pegawai Kebudayaan UiTM Perak) meminta butiran diri saya untuk didaftarkan sebagai pemantun UiTM Perak. Saya pada awalnya enggan menerima tugas tersebut kerana sibuk dengan ARC 2008 tapi akhirnya saya terpaksa mewakili UiTM Perak kerana "Otai-Otai" lain semua telah pergi melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat PhD.
.
Dengan berat hati, tanpa persediaan dan dalam keadaan amat penat saya mewakili UiTM perak bersama-sama Pemantun Utama,Hj Hisyam (Unit Kolej), Pemantun kedua, Razman (Perpustakaan), Pemantun ketiga, saya dan Pemantun Simpanan, Zaid (Perpustakaan).
.
Tanpa disangka-sangka, kami melangkah ke pertandingan akhir dan bergelar Naib Johan.

Accounting Research Conference 2008 (ARC 2008)



Pada 1 Disember 2008, FakultiPerakaunan UiTM Perak menganjurkan Konferensi Perakaunan (ARC 2008). Saya menjadi AJK peralatan, "Event Manager", "Photographer" dan "Presenter" pada hari tersebut (kes tak cukup kakitangan).

Hari yang memenatkan tapi hasilnya memuaskan.

Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim


"Dr Kamil nak datang perasmian KARISMA minggu ni", kata Shatari (Supervisee PhD Dr Kamil). Saya mengambil peluang lalu menulis emel kepada beliau memesan tiga buku karya beliau. "PhD Kecil Tapi Signifikan", "Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman" dan "Travelog Dakwah Meniti Hari Esok" dan menjemput beliau untuk singgah di rumah kami.

Pada hari Jumaat 28 November 2008, tanpa dijangka Dr. Kamil dan Shatari singgah ke rumah kami. Tiada persiapan khusus yang kami lakukan kerana kami jangkakan beliau akan datang pada hari Sabtu atau Ahad dan kebetulan Wardah kurang sihat pada hari tersebut.

Kami amat berbesar hati menerima kunjungan beliau.

Jumaat, 5 Disember 2008

Sarah 5 tahun





Begitu pantas masa beredar. Sarah dah 5 tahun. Saya belikan kek Sponge Bob (asalnya dia mahukan kek buah strawberry malangnya saya gagal menemui kek jenis tersebut di Seri iskandar).
.
Hadiah dari Eisya - Hiasan meja tulis

Hadiah dari ibu - bekas pensil Pooh

Hadiah dari ayah - baby doll