Saya membaca akhbar The New Straits Times dan terkejut membaca berita tentang Dalilah Tamrin (atau lebih dikenali dengan Raden Galoh) telah kembali ke Rahmatullah lebih kurang seminggu yang lalu akibat kanser yang beliau hidapi. Saya semakin kurang ber"blog" kerana gagal mencuri masa. Cuma sekali-sekala menjengah blog rakan-rakan lain.
Saya mula membaca blog Raden Galoh (Onebreastbouncing) bila ibu mertua saya menghidap penyakit kanser Lymphoma. Banyak panduan yang saya perolehi (terutamanya petikan ayat-ayat suci Al-Quran untuk melawan kanser). Alhamdulillah penyakit ibu mertua saya berkurang.
Seorang insan yang istimewa. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang soleh. AL-FATIHAH
Artikel berikut dipetik dari http://elviza.wordpress.com dan disiarkan dalam akhbar sinar harian pada 21 Julai 2010
LANGIT PETANG di Tanah Perkuburan Kg. Labuhan Dagang menangis lewat Isnin lepas. Langit di hati saya juga masih kelabu dengan airmata. Jadi, saya memohon kelonggaran dari pembaca budiman agar ruangan Kanvas Kata minggu ini dikhususkan sebagai obituari sahabat saya, Dalilah Tamrin.
LANGIT PETANG di Tanah Perkuburan Kg. Labuhan Dagang menangis lewat Isnin lepas. Langit di hati saya juga masih kelabu dengan airmata. Jadi, saya memohon kelonggaran dari pembaca budiman agar ruangan Kanvas Kata minggu ini dikhususkan sebagai obituari sahabat saya, Dalilah Tamrin.
Dunia penulis laman sesawang telah bertanggungjawab menemukan kami dalam lingkungan keakraban manusia. Persahabatan kami tidak tua usianya, baru empat tahun sejak pertama kali bertemu mata. Tetapi empat tahun itu getir. Apa yang saya belajar dari Dalilah, boleh diibaratkan seluas laut, setinggi gunung dan setala langit lepas.
Tuhan pertama kali menduga Dalilah ketika beliau berusia 37 tahun, di mana Dalilah telah didiagnosiskan mengidap kanser payudara. Bahagian payadara yang tercemar dengan kuman jahat itu segera dibedah dan dibuang jauh-jauh. Harap-harap sel-sel kanser itu tidak kembali mengganggu Dalilah. Selesai pembedahan payudara, enam kitaran chemoteraphy dan 24 sesi radiotherapy, Dalilah menarik nafas lega.
Tetapi rasa lega Dalilah cuma bertahan tiga tahun sehaja. Masuk tahun 2008, sekali lagi Tuhan menduga Dalilah. Kanser metastasis telah disahkan merebak ke bahagian hati, tulang rusuk, tulang selangkang dan rahang beliau. Penularan kanser di bahagian hati itu juga telah menempatkan Dalilah sebagai pesakit kanser kronik, tahap keempat.
Sekali lagi tubuh badan Dalilah menderita didera rawatan chemotherapy, yang bukan sahaja membunuh sel-sel kanser, tetapi juga setiap zarah sel-sel lain di badan. Tidak tertanggung mata melihat penderitaan Dalilah. Namun, berbekalkan dorongan suami dan anak-anak, Dalilah selesaikan juga enam kitaran DOCE chemotherapy dan lima sesi radiotheraphy.
Tidak juga mati kanser jahanam itu!
Pada bulan Julai 2009, para doktor dan pakar onkologi bijaksana telah memberi jangkaan bahawa Dalilah hanya ada 18 bulan untuk hidup. Ketika baru mengetahui diagnosis yang mengjengkelkan itu saya meradang, saya bertanya kepada Dalilah: Why do doctors love to play God? Dalilah tergelak besar sebelum menjawab: It would be worse it you let lawyers play God! Ah, Dalilah…
Ketika arwah masih ada, saya sering mengusik beliau, saya bilang: “Awak ini selebriti penyakit kanser!” Apa tidaknya? Sekiranya dijemput untuk ditemubual di stesen television atau berucap di hadapan pesakit-pesakit kanser yang lain, mutiara kata dan teks ucapan akan Dalilah susun dan rancang serapi mungkin. Elemen-elemen emosi diabaikan untuk memberi laluan kepada semangat dan harapan kepada pesakit kanser yang lain. Setiap kali Dalilah muncul di kaca television, ibu saya adalah antara penonton merangkap peminat setia beliau.
Dalilah bukan seperti pesakit kronik yang pernah saya temui. Tiada kanser di dunia yang mampu memadamkan semangat perempuan kuat ini. Walaupun mengidap kanser tahap keempat, Dalilah tetap berkeras untuk menjalankan tugas sebagai isteri, ibu, penulis laman sesawang dan buku, pejuang penyakit kanser, aktivis kemasyarakatan dan macam-macam lagi. Bukan sedikit jasa dan peninggalan arwah untuk dunia yang fana ini.
Sebelum Dalilah pergi, dia telah menghuraikan perjalan beliau menentang kanser dalam sebuah buku, Kanser Payudaraku, yang telah diterbitkan oleh Tinta Publisher pada tahun 2009. Beberapa bulan sebelum sakaratul maut datang menjemput, Dalilah sempat mengabadikan pesanan terakhir beliau dalam lagu KembaliKu PadaMu Ilahi.
Saya teringat kata-kata Dalilah ketika saya menangis melihat dia terlantar di katil hospital lewat setahun lepas: “Jangan menangis, Mish. Hidup ini sementara sahaja. Aku tunggu kau di sana ya? Kalau aku mati, kau boleh tulis pasal aku. Kau menulis sangat cantik, macam bidadari!” Sehingga sekarang, masih ada batu besar yang terlekat di kerongkong saya.
Rakan Dalilah, Datin Paduka Marina Mahathir, pernah menyuarakan pendapat bahawa setiap kali selepas menziarahi Dalilah, semua orang akan pulang dengan hati riang. Aneh bukan? Lazimnya jika menziarah orang sakit, kita akan rasa sedih, terharu. Tetapi Dalilah yang saya kenal, memang pantang melihat walau sezarah kesedihan. Senyuman Dalillah lebar lagi murah. Ketawa dan jenaka jadi sulaman walaupun sedang perit berperang dengan chemotherapy.
Semenjak Dalilah sakit, tidak sekali saya mendengar dia mengeluh. Genap seminggu selepas Dalilah melakukan tawaf wida’ di Tanah Haram, roh Dalilah diangkat pulang ke Rahmatullah, pada tanggal 19 Julai 2010.
Sekiranya hari ini Dalilah masih hidup, beliau akan menyambut harijadinya yang ke-43, tetapi Tuhan lebih mengasihi Dalilah. Saya mohon maaf sekiranya garapan ini tidak secantik bidadari, sahabat, tetapi saya sudah mencuba sedaya kudrat.
Benar Dalilah sudah pergi, tetapi obor semangat beliau akan terus menyala dalam setiap hati yang pernah beliau sentuhi. Harimau mati meninggalkan belang, Dalilah mati meninggalkan semangat. Semoga roh Dalilah Tamrin ditempatkan di kalangan para solihin. Tunggu saya di sana, Dalilah. Suatu hari saya juga akan pulang…
* Elviza Michele Kamal merasakan titipan minggu ini hambar sekali, langsung tidak secantik bidadari.
(dipetik dari http://elviza.wordpress.com)
1 ulasan:
ada juga mengikuti blog aruah...
artikel yang ditulis sahabat beliau ini begitu mengesankan sekali
terbaru dari saya : berlagak bodoh
Catat Ulasan