Ahad, 7 Disember 2008

Koleksi Pantun (karya sendiri dan sumbangan Dura)

Pohon kempas buat belebas
Tempat semut membuat sarang
Komunikasi pantas bahasa diringkas
Budi susut kesopanan hilang

Sepetang senja mengutip lokan
Hujung muara airnya tenang
Puncak dunia telah ditawan
Itukah tanda bangsa terbilang

Indah permata dibuat kalung
Jalinan erat sisip di julang
Anak muda lagaknya canggung
Celana sendat sepatunya usang

Kuala Kedah nampak berbalam
Suram cahaya menjelang petang
Mahligai indah bertatahkan nilam
Kenapa lena berdiankan bintang

Buah kepayang bawah terendak
Anak bertatih tersadung kaki
Bercerai sayang bertalak tidak
Bernikah kasih tiada berkadi

Indah tembikar bertatahkan nilam
Sayang sedikit sumbing di tepi
Apakah khabar bunga di kolam
Akar melilit pucuknya mati

Indah kejora kian ternampak
Makin berbalam makin berseri
Seksa sengsara dilambung ombak
Andai tak karam susur ke tepi

Sepetang senja mengutip tiram
Di hujung muara dengan perahu
Puas ku baja benih kusiram
Belum berbunga berbuah dahulu

Sudah bersidang beristirehat
Datuk Maharaja tegap berdiri
Berputih tulang menjulang adat
Maruah bangsa tidak dicaci

Anak rubah badannya katik
Termakan belacan matanya juling
Rambut merah pusat bertindik
Badak hairan tenuk pun pening

Duduk bersimpuh si anak dara
Sambil menugal segenggam padi
Jangan angkuh mengikut selera
Sedih yang tinggal memendam hati

Belayar bahtera ke Kuala Kedah
Bawa pulang kursani padu
Didepan mata tidak diendah
Bila dah hilang baru merindu

Hiasan indah dibuat kalung
Rapi ditatah permata biru
Kaduk sudah naik ke junjung
Kenapa si Tuah berlidah kelu

Gendang ditabuh ikut irama
Lemah gemalai tarian ngajat
Bersatu teguh matlamat bersama
Adakah tercapai maksud dan hajat

Sabtu, 6 Disember 2008

Cempedak Jadi Nangka



Saya pernah mewakili Fakulti Perakaunan UiTM Perak ke Pesta Pantun peringkat UiTM, tanpa disangka-sangka kami (Dura, Naimah AY dan saya) menjadi juara pada tahun 2006. Pada tahun 2007 saya mewakili pasukan UiTM 2 ke Pesta Pantun peringkat negeri Perak dan berjaya mendapat tempat ketiga.
.
Pada 28 November 2008, saya mendapat panggilan dari En. Syahrin (Pegawai Kebudayaan UiTM Perak) meminta butiran diri saya untuk didaftarkan sebagai pemantun UiTM Perak. Saya pada awalnya enggan menerima tugas tersebut kerana sibuk dengan ARC 2008 tapi akhirnya saya terpaksa mewakili UiTM Perak kerana "Otai-Otai" lain semua telah pergi melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat PhD.
.
Dengan berat hati, tanpa persediaan dan dalam keadaan amat penat saya mewakili UiTM perak bersama-sama Pemantun Utama,Hj Hisyam (Unit Kolej), Pemantun kedua, Razman (Perpustakaan), Pemantun ketiga, saya dan Pemantun Simpanan, Zaid (Perpustakaan).
.
Tanpa disangka-sangka, kami melangkah ke pertandingan akhir dan bergelar Naib Johan.

Accounting Research Conference 2008 (ARC 2008)



Pada 1 Disember 2008, FakultiPerakaunan UiTM Perak menganjurkan Konferensi Perakaunan (ARC 2008). Saya menjadi AJK peralatan, "Event Manager", "Photographer" dan "Presenter" pada hari tersebut (kes tak cukup kakitangan).

Hari yang memenatkan tapi hasilnya memuaskan.

Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim


"Dr Kamil nak datang perasmian KARISMA minggu ni", kata Shatari (Supervisee PhD Dr Kamil). Saya mengambil peluang lalu menulis emel kepada beliau memesan tiga buku karya beliau. "PhD Kecil Tapi Signifikan", "Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman" dan "Travelog Dakwah Meniti Hari Esok" dan menjemput beliau untuk singgah di rumah kami.

Pada hari Jumaat 28 November 2008, tanpa dijangka Dr. Kamil dan Shatari singgah ke rumah kami. Tiada persiapan khusus yang kami lakukan kerana kami jangkakan beliau akan datang pada hari Sabtu atau Ahad dan kebetulan Wardah kurang sihat pada hari tersebut.

Kami amat berbesar hati menerima kunjungan beliau.

Jumaat, 5 Disember 2008

Sarah 5 tahun





Begitu pantas masa beredar. Sarah dah 5 tahun. Saya belikan kek Sponge Bob (asalnya dia mahukan kek buah strawberry malangnya saya gagal menemui kek jenis tersebut di Seri iskandar).
.
Hadiah dari Eisya - Hiasan meja tulis

Hadiah dari ibu - bekas pensil Pooh

Hadiah dari ayah - baby doll

Rabu, 29 Oktober 2008

Berakhirnya penderitaan Mak

Kesihatan Mak semakin membimbangkan sejak dua tahun yang lepas (pada ketika beliau kerap keluar-masuk hospital kerana masalah paru-paru berair). Sejak Allaryarham Cho meninggal dunia keadaan Mak semakin kritikal (Mak semakin pasif). Saya semakin kurang berinteraksi dengan beliau, cuma sekali-sekala menukarkan lampin beliau, menolong Abang Teh mencuci luka Mak dan menggaru belakang badan Mak (kegagalan buah pinggang dan hati berfungsi menyebabkan toksin dinyahkan melalui kulit mengakibatkan kegatalan pada kulit badan Mak).
.
Abang Teh adalah anak yang paling banyak memainkan peranan menjaga Mak (semasa berulang-alik ke Hospital Besar Ipoh, Mak menginap di rumah Abang Teh). Abang Teh kerap pulang ke Tapah Road melawat dan menjaga Mak. Malah Abang Teh menolak tawaran kenaikan pangkatnya (menjadi Pengarah Audit Perlis) kerana mahu menjaga Mak. Abang Teh sempat memandikan Mak (dengan bantuan pembantu rumah) pada pagi hari Sabtu 25 Oktober 2008. Mak begitu gembira dan ketawa ketika dimandikan (mandian terakhir Mak semasa hayatnya).
.
Pada 25 Oktober 2008, kami adik-beradik pulang ke kampung untuk menjenguk Mak (kebetulan hari Isnin cuti perayaan Deepavali). Keadaan Mak mulai kritikal sejak pukul 8:00 malam. Mak mengalami kesukaran bernafas dan perutnya membengkak. Kegagalan buah pinggang dan hati berfungsi mengakibatkan air tidak dapat keluar dari badan Mak.
.
Saya, Abang teh dan Kak Jan (Isteri Yeop, sepupu saya) bergegas ke klinik swasta di Tapah dengan harapan doktor klinik swasta tersebut dapat membuat rawatan di rumah. Kami seboleh-bolehnya tidak mahu Mak dimasukkan ke hospital kerana Mak amat sukar membuat pergerakan selepas kakinya dipotong. Mak tidak boleh mengambil ubat tahan sakit (pain killer) kerana masalah buah pinggang Mak. (Sebagai seorang anak saya amat sedih kerana tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengurangkan penderitaan Mak.)
.
Pada pendapat doktor jika Mak dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut , Mak hanya mampu bertahan 2-3 minggu. Sebaliknya, Mak hanya dapat bertahan 2-3 hari. Doktor menyarankan kami agar membawa Mak ke hospital segera. Saya menelefon Hospital Tapah untuk bantuan ambulan namun talian gagal dicapai. Saya, Abang teh, Kak Nah (isteri Cho), Andak, Kak Uda, Chu dan Siti berbincang semula. Akhirnya kami membuat keputusan untuk tidak membawa Mak ke hospital kerana keadaan Mak yang kritikal pada ketika itu.
.
Mak menghembuskan nafas terakhirnya pada 10:50pm 25 Oktober 2008 di rumah selepas menderita komplikasi pelbagai penyakit (kencing manis, lemah jantung, tekanan darah rendah, paru-paru berair, kanser hati, batu karang dalam hempedu, pendarahan dalam usus dan batu karang dalam hempedu). Perasaan saya bercampur-baur (sedih kerana ibu kandung saya telah tiada dan saya juga berasa lega kerana penderitaan Mak telah berakhir).
.
Kepada pembaca entri ini saya berharap agar tuan-puan dapat sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah ibu saya. Al-Fatihah

Ahad, 19 Oktober 2008

Jamuan raya 2008 (untuk "student" je)









Pada Jumaat lepas saya dan Wardah bersetuju untuk mengadakan jamuan hari raya yang ringkas untuk pelajar-pelajar saya (lebih kurang 100 orang kesemuanya).

.

Menu: bihun goreng, roti jala, tart telur, agar-agar merah, air strawberry.

Jumaat, 17 Oktober 2008

Kesihatan Mak semakin membimbangkan

Semalam Alang membawa Mak ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan Mak. Doktor memaklumkan bahawa keadaan kaki kiri Mak semakin teruk akibat "Gangrene" dan terpaksa dipotong hinggan ke paras lutut. Keadaan kaki kanan Mak juga tidak berapa baik (Aliran darah tidak sampai ke kaki dan kebanyakn organ dalaman Mak berfungsi di tahap minima). Kemungkinan besar pembedahan itu akan dijalankan hari ini.
.
Berita yang agak melegakan kami bila Alang memaklumkan bahawa pembantu rumah telah diperolehi (sedikit sebanyak akan meringankan beban Chu dalam menguruskan rumah dan keluarga).

Selasa, 14 Oktober 2008

Budaya telefon bimbit dan SMS

Pada awalnya, kewujudan telefon bimbit memudahkan urusan seharian (kita mudah untuk dihubungi, mobiliti dan sebagainya). Dengan wujudnya gelombang digital telefon bimbit berubah dari era 1G ke 2G (membolehkan penggunanya menggunakan perkhidmatan Short Message Services (SMS) atau khidmat pesanan ringkas. Maka wujudlah masalah-masalah berikut:
.
1) Budaya SMS, orang jarang-jarang menelefon. Kad raya semakin berkurangan, jemputan menggunakan sms dan sebagainya.
.
2) Bahasa ringkas yang merosakkan nilai bahasa, contohnya pas 2 (selepas itu), Akum (Assalamualaikum) dan sebagainya.
.
3) Gangguan dala majlis, contohnya telefon berdering ketika solat Jumaat, pelajar "main" SMS ketika pensyarah mengajar dan sebagainya.
.
Secara peribadinya, saya rasa kecewa kerana kebelakangan ini saya kerap menerima mesej-mesej yang tidak "sedap" dibaca. Ada perkara-perkara tertentu yang tidak sesuai menggunakan SMS, contohnya pelajar bertanya masalah akaun menggunakan SMS, undangan majlis rasmi (perkahwinan, pertunangan dan seumpamanya), perbincangan perkara-perkara khusus yang melibatkan penerangan yang panjang lebar dan sebagainya.
.
Pada pendapat saya SMS hanya boleh digunakan untuk urusan tidak rasmi, untuk "chit-chat" ringkas dan penyampaian maklumat ringkas dengan segera (contohnya ketika pemergian Allahyarham abang saya, saya menghantar SMS kepada rakan-rakan saya untuk memaklumkan hal tersebut, namun saya menelefon keluarga dan sahabat rapat untuk penerangan lanjut.)
.
Kita masih ada adab,adat dan nilai murni yang harus dijaga. Jangan biarkan budaya ini merosakkan nilai-nilai murni tersebut.

Dr. Muhd Kamil Ibrahim dan Falsafah MIM

Saya telah terpilih secara "paksa rela" oleh ketua jabatan untuk mengikuti siri ceramah ini semalam di Dewan Seri iskandar (DSI) UiTM Perak. Penceramahnya Dr. Muhd Kamil Ibrahim (bekas pensyarah saya) dan kupasannya amat menarik di mana beliau mengaitkan pengalaman beliau menunaikan fardhu Haji dengan falsafah MIM itu sendiri.
.
Cara penyampaian beliau amat efektif dan hampir kesemua pendengar ter"pukau" dan tersentuh dengan cerita dan penyampaian beliau yang diselang-selikan dengan dakwah (Pada pendapat saya beliau jauh lebih baik dalam berdakwah berbanding sebilangan ustaz-ustaz yang saya kenali). Semalam saya faham apa yang dimaksudkan dengan "teruja" (yang tertulis dalam blog beliau) untuk memberi ceramah kerana sememangnya beliau seorang penceramah dan motivator yang amat baik.
.
(Falsafah MIM merupakan sebuah buku nukilan Dato' Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah berkenaan nilai-nilai negatif yang ada pada orang melayu yang di "positif"kan, nak tahu lebih lanjut kena baca sendiri).

Jumaat, 10 Oktober 2008

Peristiwa 2 menjelang Syawal

Pada 30 Ramadhan, Abang Teh membawa Mak ke Hospital Tapah untuk "dressing" luka di kaki Mak. Doktor mengesahkan jari manis kaki kiri Mak mesti dipotong segera kerana "gangrene".
.
Pada malam 1 Syawal Mak dibawa ke Hospital Teluk Intan dan jari tersebut dipotong bagi mengelakkan luka/ sel mati tersebut dari terus merebak. Seterusnya setiap hari Mak perlu melakukan "dressing' di Hospital Tapah.
.
Semalam saya menelefon Abang Teh (Abang Teh membawa Mak ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut), keadaan Mak makin teruk. Jari kelingking dan jari hantu jari kaki kirinya mungkin terpaksa dipotong akibat "gangrene".
.
Ya Allah permudahkanlah urusan kami sekeluarga dan ringankanlah penderitaan ibu kami. Amin.

Peristiwa 1 menjelang Syawal




Fakhri anak tunggal lelaki abang Akhi (abang ipar) terlibat dalam kemalangan jalanraya (dilanggar lari oleh keret MyVi) pada waktu tengahhari 30 Ramadhan ketika mereka bersiap-siap untuk pulang berhari raya di Kedah (kampung Kak Yati).

.

Tulang pehanya (lihat gambar X-Ray), tulang rahangnya dan dagunya patah. Kos pembedahan RM20,000 (tidak termasuk kos perubatan dan wad). Fakhri tidak mempunyai lesen memandu dan kemalangan tersebut berlaku di jalan utama (Fakhri menunggang motor)

.

Suatu pengajaran yang begitu mahal. Semoga Fakhri akan lebih menghargai nilai kekeluargaan dan akan menjadi anak yang taat kepada ibu-bapa.

.

Ahad, 28 September 2008

Raya kat mana?

Mak dan Mak Mertua (Mbok) saya kedua-duanya telah uzur. Mak disahkan menghidap "Multi Organ Malfunction" dan doktor mengatak bahawa Mak hanya boleh ber"tahan" lebih kurang 6 bulan.
.
Mbok pula disahkan menghidap sejenis kanser darah pada akhir tahun 2007 dan doktor menyarankan mbok membuat kimoterapi (tapi mbok tak nak). Tanpa rawatan Mbok dijangka dapat ber"tahan" lebih kurang 2 tahun.
.
Tahun ini sepatutnya kami beraya di rumah Mbok tapi Andak memberi cadangan supaya semua adik-beradik balik kampung pada hari raya pertama. Masalahnya kebanyakan anak-anak Mbok beraya di rumah sendiri/ mertua pada hari raya pertama dan Wardah merupakan ayam tambatan untuk membuat persiapan hari raya.
.
Saya membuat keputusan untuk balik ke rumah Mak esok (Isnin) dan terus ke Bagan Datoh (rumah Mbok) hari Selasa. Kami akan balik ke rumah Mak semula pada hari raya ketiga dan keempat.

Isnin, 8 September 2008

Dekorasi terkini rumah kami






Kolam Air Panas Sg Klah, SungkaiOgos 2008




Sungai Klah Hotspring.
.
Tempat yang menarik, terdapat kolam air panas dan kolam mata air. Bayaran masuk RM10. Kalau ke tempat ini jangan lupa bawa telur mentah (untuk direbus di dalam kolam air panas). Jangan lupa bawa tikar dan bekalan makanan (makanan di sini agak mahal dan tak berapa menyelerakan).
.
Rating: Highly recommended (Insya-Allah saya akan ke sini lagi).

Marina Waterpark Julai 2008




Tempat yang agak menarik, cuma agak panas. Masih dalam pembinaan, baru 60 - 80 % siap. Bayaran masuk RM7 (kalau tak silap). Not highly recommended.

Kesihatan Mak dan Ngah

Kesihatan Mak turun naik tapi Alhamdulillah Mak masih mampu menguruskan dirinya serba sedikit. Ngah semenjak pemergian Cho semakin menjadi pelupa, mungkin berita kematian Cho memberikan impak yang besar dalam hidupnya.
.
Arwah Cho amat rapat dengan Ngah (kami menganggap Cho anak kepada Ngah) kerana Ngah memelihara beliau sejak dari kecil lagi, malah Amy dan Dilah (anak Cho) diasuh oleh Ngah semenjak dari kecil. Apabila Amy dan Dilah masuk IPT, Ngah mengambil keputusan untuk tinggal di kampung bersama-sama Mak dan Chu.
.
Arwah Cho kerap menelefon dan melawat Ngah di kampung (2 kali sebulan). Semenjak pemergian arwah Cho, mungkin rasa kesunyian. Saya berdoa moga kesihatan Ngah dan Mak bertambah baik.

Rabu, 13 Ogos 2008

Naik buai Amniy dan kenduri arwah













Kak Jan dan Yob (sepupu) telah lama merancang untuk membuat majlis tahllil dan kenduri arwah (sememangnya Yob dan Kak Jan sering membuat kenduri sebelum menjelang Ramadhan) dan sempat menjemput Cho (semasa hayatnya). Apa yang berlaku pada 10 Ogos 2008 majlis tahlil dan kenduri arwah tersebut juga ditujukan buat arwah Cho.


.


Chu (makcik saya) mencadangkan supaya hari tersebut turut diadakan majlis naik buai Amniy dan kebetulan pada tarikh tersebut hampir dengan hari lahir Amru Alqais (anak Siti adik saya), maka majlis sambutan hari lahir turut diadakan. Dan saya turut tumpang sekaki kerana hari lahir saya pada 5 Ogos yang lepas (kes nak "cut cost" he.. he.. he..). Keknya kek Ultraman. Ultraman pun Ultraman lah janji free.......

Rabu, 30 Julai 2008

Prolog, Cho




Semenjak Mak sakit kuat kami adik-beradik kerap berjumpa dirumah Mak di hujung minggu. Bila berjumpa sememangnya kami tak pernah kering gusi, sentiasa ada isu untuk dijadikan bahan ketawa. Cho ada mengadu dengan Abang Teh yang kakinya bengkak. Abang Teh menyarankan agar Cho membuat pemeriksaan kesihatan lengkap kerana kaki bengkak antara simptom penyakit jantung.

.
Pada 21 Julai 2008 Cho membuat pemeriksaan lanjut di SJMC dan doctor mengesahkan tiga salur arterinya tersumbat (100%, 80% dan 60%). Doktor menyarankan Cho untuk membuat “bypass surgery”. Saya sempat berbual dengan Cho menerusi telefon pada 23 Julai 2008 dan Cho kata dia ok, nothing to worry. Saya pesan agar Cho banyak berehat. Cho discaj pada 25 Julai 2008.

.

Pada 25 Julai 2008 lebih kurang pukul 10 malam, Wardah mengingatkan saya untuk menelefon Cho bertanya khabar. Telefon bimbitnya tidak diangkat, bila saya telefon rumahnya Huda (adik bongsu saya) kata Cho dah tidur. Lalu saya berbual dengan Kak Nah bertanyakan khabar Cho dan tentang rawatan lanjut yang akan dibuat.

.

Pada jam 06:30 26 Julai 2008, Cho disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.

Cho kembai ke Rahmatullah











Setiap insan pasti merasa saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan, hanya amalan yang dibawa


.
Pada tarikh 26 Julai 2008 (waktu subuh) abang sulung saya Ahmad Zaini Alias (Cho) telah kembali ke Rahmatullah akibat serangan jantung. Kehilangan Cho amat saya rasai kerana saya banyak terhutang budi kepada Cho. Sejak dari zaman persekolahan (awal 80an), saya kerap berkunjung ke rumah Cho terutamanya ketika cuti sekolah.


.
Cho berkahwin dengan Kak Nah (dikurniakan dengan 2 orang cahaya mata (Emi dan Dilah). Saya pernah menumpang dirumah Cho lebih kurang 4-5 tahun, bermula dari tahun 1995 hingga 2000 (dari zaman belajar (ADIA) hingga bekerja). Cho seorang yang bertanggungjawab. Cho menanggung pengajian saya ketika Diploma dan turut membantu saya ketika mencari pekerjaan, selayaknya beliau menjadi abang sulung saya.


.
Cho amat baik hati dan pemurah. Seorang yang senang hati. Wardah juga agak rapat dengan Cho hingga merasakan Cho macam abang kandungnya olehkerana perwatakan Cho itu sendiri (mudah didekati, suka bergurau dan suka menyakat).


.
Saya tidak dapat menahan sebak di dada terutamanya ketika Alang, Abang Teh, Andak dan saya memandikan jenazah Cho. Kenangan bersama semasa hayat Cho datang menerpa menyebabkan saya hampir teresak-esak hingga Abang Teh menegur saya (Cho dah tiada, yang kita mandikan ni hanya jasadnya).


.
Saya berdoa semoga Cho ditempatkan oleh bersama-sama dengan orang-orang yang beriman disisi Allah. Kepada yang membaca entri ini saya mohon untuk turut bersama-sama membaca surah Al-Fatihah buat Cho. Al-Fatihah.