Jumaat, 28 Januari 2011

Ilmu dan Harta


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA katanya:

“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda : Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.” [Hadis Riwayat Bukhari]

Huraian

Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya?

Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji.

Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya.

Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta?

Tentu sekali ilmu kerana seperti kata Saidina Ali “Ilmu akan menjaga diri mu sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya.”

Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah Ta'ala iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

Sumber: Emel rakan sekerja (En Md Azmi Mohd Sukaimi, Pensyarah UiTM Perak)

Selasa, 25 Januari 2011

Fitnah


Pelbagai maklumat diperlolehi melalui internet. Tanpa batasan, tanpa sempadan dan tanpa kekangan. Mungkin kerana itulah semakin hebat berita-berita yang tidak tepat, lebih teruk lagi, berita palsu, fitnah, pembohongan dan caci-makian terutamanya di blog-blog. Lebih menyedihkan, kebanyakan blogger tersebut mengucap dua kalimah syahadah. Barangkali mereka terlupa nilai-nilai murni dan adab-adab di dalam Islam.

Dahulu saya pernah meluahkan rasa kesal saya terhadap blogger-blogger yang mencaci dan meghina mereka yang telah meninggal dunia. Pelbagai kata nista dilemparkan. Lebih angkuh bila seorang blogger menghina isteri Rasulullah dan mempertikaikan tindakan para sahabat Rasulullah yang telah dijanjikan syurga.

Terkini, pelbagai hinaan, makian dan cacian terhadap calon-calon yang bakal bertanding pilihanraya kecil. Sebagai seorang Islam, saya terpanggil untuk mengingatkan diri saya, blogger-blogger dan pengunjung blog ini.

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Siapa yang merasa pernah berbuat aniaya kepada saudaranya, sama ada berupa kehormatan badan atau harta atau lain-lainnya, hendaknya segera meminta halal (maaf) darinya, sebelum datang suatu hari yang tiada harta dan dinar atau dirham, jika dia punya amal saleh, maka akan diambil menurut penganiayaannya, dan jika tidak mempunyai hasanah (kebaikan), maka diambilkan dari kejahatan orang yang dianiaya itu untuk ditanggungkan kepadanya." [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Antara dosa sesama manusia termasuklah fitnah.

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” [Al-Hujurat:6]

Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu. Mungkin untuk mencari publisiti.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim].

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti. Kenapa muflis? Kerana di akhirat "urus niaga" dalam bentuk pemberian pahala dan dosa. Seandainya tiada lagi pahala, maka kita terpaksa menanggung pula dosa orang yang kita fitnah sebagai tebusannya.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud:“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.”[Al-Hujurat:12].

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah.

Sumber: Olahan semula dari pelbagai artikel dan forum

Sabtu, 22 Januari 2011

Allahyarham Meor Hairul Anuar (1974 - 2011)


Saya mendapat berita yang menyedihkan dari seorang "junior" semasa menuntut di SEMESTI memaklumkan bahawa salah seorang rakan saya (SEMESTIAN 4th batch) Meor Hairul Anuar telah kembali ke Rahmatullah ketika sujud (solat maghrib) lebih kurang dua minggu yang sudah di Ipoh.

Saya tidaklah begitu akrab dengan beliau. Beliau merupakan seorang pelajar yang pintar semasa di SEMESTI. Sewaktu saya dan rakan-rakan yang lain sibuk dengan aktiviti-aktiviti "nakal" kami, beliau sibuk dengan aktiviti surau. Beliau sering menjadi tempat rujukan kami sekiranya terdapat kemusykilan tentang hal agama Islam.

Beliau melanjutkan pelajaran ke Glasgow dan sekembalinya ke Malaysia, beliau memilih untuk hidup sederhana.

Agak terkilan kerana selama 10 tahun saya menetap di kawasan Batu Gajah dan Seri Iskandar, tiada sesiapa memaklumkan kepada saya yang Allahyarham tinggal di Batu Gajah dan bekerja di sekitar Ipoh.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

AL-FATIHAH

Isnin, 17 Januari 2011

Hari penuh emosi


Dua minggu terdahulu:

Saya ke Bank Rakyat Seri Iskandar untuk membayar ansuran sewa beli kereta Ambank (melalui pindahan antara bank (GIRO)). Saya dapati "teller" yang baru telah salah memasukkan nombor akaun. Saya menegur "teller" itu, namun transaksi telah berlaku. Pegawai bertugas pada ketika itu (seorang wanita) memberi jaminan transaksi itu akan dilaksanakan dan saya perlu mengisi borang lain.

Hari ini:

Saya mendapat panggilan telefon dari Bank Rakyat (pegawai lelaki) mengatakan transaksi tersebut tidak berjaya dan saya perlu ke Bank Rakyat untuk mengambil semula wang saya. Saya menegaskan kepada pegawai tersebut tentang apa yang telah berlaku dua minggu sebelumnya, sebaliknya, pegawai lelaki itu menegaskan lagi supaya saya datang ke bank dan mengambil semula wang saya dan terus mematikan perbualan.

Saya rasa diperkotak-katikkan. Saya telah terlewat membayar ansuran bulanan dan tentunya saya dikenakan denda lewat bayar oleh Ambank.

Saya terus ke Bank Rakyat dan berjumpa "teller" dan memberitahu masalah saya. Terdapat seorang pegawai lelaki duduk di belakang "teller" tersebut. "Teller" meminta kad pengenalan saya dan menyerahkan kepada pegawai tersebut. Pegawai tersebut dengan riak muka yang sombong menyerahkan suatu dokumen kepada "teller" itu.

"Teller" itu memaklumkan bahawa saya perlu membayar RM0.50 untuk meneruskan transaksi. Saya menegaskan sekali lagi, kesilapan awal dilakukan oleh pihak Bank Rakyat dan saya terpaksa membayar lebih RM0.50 dan didenda lewat membayar ansuran sewabeli oleh Ambank.

Pegawai yang tadinya berdiam diri tiba-tiba bersuara dan berkata,"Tadi masa saya call encik tengah marah sebab tu saya hentikan perbualan." (Bola tanggung)

Saya: Tadi saya tak marah, cuma menegaskan, sekarang saya tengah MARAH. You are so rude to cut off the conversation. Saya pun pernah kerja bank, tapi tindakan awak tadi melampau. Malang sungguh Bank Rakyat dapat staf macam ni. Saya dah berurusan dengan bank ni semenjak bank ni wujud di Seri Iskandar. Tapi cara layanan awak tadi amat mengecewakan. Tak boleh ke cakap elok-elok. TAKKAN TU PUN SAYA NAK AJAR.

Pegawai: Tadi saya dah cakap yang kesalahan itu bukan saya yang buat.

Saya: Habis tu awak nak kata saya yang salah. In the first place who is wrong? Siapa yang salah key-in? Sekarang dahlah saya kena late charges, kena bayar extra 50 sen lagi. Ini bukan masalah duit dan saya tahu Bank Rakyat tak buat duit pun melalui transaksi ini, tapi cara awak melayan saya tadi very rude, very bad.

Pegawai: Saya dah selalu kena marah dengan customer sebab tu saya hentikan perbualan telefon.

Saya: Itu tugas awak, awak tak boleh nak lepas tangan. Habis tu awak nak menyalahkan orang lain. Pegawai sebelum ini mewakili Bank Rakyat, begitu juga awak. Saya orang Islam, awak orang Islam. Kita ada adab. Layanlah pelanggan dengan baik. Bukan takat 50sen, RM1 pun saya boleh bayar. Cuma cakap le elok-elok. Ni asyik nak lepas tangan dan menyalahkan orang lain je.

Dipendekkan cerita pegawai tersebut meminta maaf dan berjabat salam dengan saya sebanyak dua kali dan memohon maaf.



Ahad, 2 Januari 2011

Babi hensem Pak We ngkau


Saya "ter"tengok gambar pasangan anak remaja berpelukan di dalam laman sosial "facebook". Si gadis memakai baju tidak berlengan (macam singlet). Dalam gambar lain mereka seolah-olah sedang berkucupan.

Komen salah seorang rakan mereka (perempuan), "Babi hensem Pak We ngkau, .........".

Komen saya:

1) Membaca dialog-dialog anak remaja sekarang membuatkan saya terasa begitu tua. Sukar untuk saya menerima bahasa-bahasa kasar sebegini, lebih-lebih lagi diluahkan oleh seorang anak gadis.

2) Walaupun Pak We si gadis itu hensem seperti babi, masih haram hukumnya berpegangan tangan apatah lagi berpelukan dan berkucupan. Malah mengucup babi tidak berdosa, hanya perlu disamak untuk menyucikan diri.

3) Saya sangat sedih kerana saya mengenali gadis ini, bahkan saya mengenali ibu gadis ini. Saya tidak tergamak menegurnya secara terus. Harap-harap gadis tersebut membaca entri ini dan pesan saya, insaflah.

Kasihanilah ibu dan bapa anda. Takutlah kepada Allah. Apa yang anda buat ini salah dan berdosa.

Hadis berkenaan menyentuh wanita bukan mahram
Daripada Ma’qil B. Yasar RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu." (Hadis Riwayat At-Thabrani)

Hadis berkenaan aurat wanita
Dari Aisyah ra, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hai Asma, sesungguhnya jika seorang wanita sudah mencapai usia haib (akil baligh), maka tak ada yang terlihat kecuali ini (sambil menunjuk wajah dan telapak tangan).” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Baihaqi)

Hadis berkenaan duduk berdua-duaan
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Janganlah seorang laki-laki dan seorang wanita bersepi-sepi, sebab syaitan laknatullah akan menemaninya. Dan janganlah seorang diantara kamu (laki-laki) bersepi-sepi dengan wanita kecuali dengan disertai mahramnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim)

Hadis berkenaan memandang wanita bukan mahram
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Pandangan terhadap wanita merupakan salah satu panah dari panah-panah iblis yang beracun. Barang siapa meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka Allah membalasnya dengan keimanan, yang kelazatannya dapat dia rasakan di dalam hati.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat"" (An-Nuur:30)