Ahad, 29 Mac 2009

Kesihatan Mbok (Kanser Lymphoma)

Semalam, 28 Mac 2009, saya sekeluarga pulang ke kampong Wardah di Bagan Datoh (kali terakhir kami pulang ke Bagan Datoh pada cuti Tahun Baru Cina yang lepas). Abang Hamdan (abang ipar saya) mengirim ubat penahan sakit yang agak kuat untuk diberikan kepada mbok.

Kebelakangan ini kesihatan mbok makin tidak menentu (kerap demam dan kelenjar-kelenjarnya makin membengkak). Ubat-ubatan biasa tidak lagi berkesan. Abang Akhiyar (abang ipar) ada membelikan makanan tambahan (supplement food) khas untuk penghidap kanser (jenama USANA dan FALICIA) dengan kos melebihi RM500 sebulan. Namun kesan makanan sampingan tersebut dalam melawan sel kanser nampaknya semakin lemah (mungkin kerana faktor umur mbok yang makin lanjut (melebihi 75 tahun)).

Wardah dan saya sempat melayari internet dan memuat turun ayat-ayat Al-Quran penawar sakit kanser dari URL berikut:
http://onebreastbouncing.blogspot.com/
http://www.al-islam.org/Quran/

Mbok mengamalkan ayat-ayat Al-Quran tersebut selepas Solat Fardhu dan Solat Sunatnya. Ayat-ayat Al-Quran tersebut hampir dihafalnya. Mbok sememangnya seorang insan yang tabah. Kesakitannya tidak diceritakan kepada semua orang kecuali anak-anaknya. Orangnya baik hati, lemah lembut, berkesopanan tinggi (warisan Jawa Kraton), memiliki sifat keibuan yang tinggi dan berfikiran positif.

Sebentar tadi saya sempat melayari internet berkenaan pokok jarum tujuh bilah yang dikatakan mempunyai khasiat melawan sel kanser hasil kajian Universiti Putra Malaysia. Wardah dan saya Insya-Allah akan cuba sedaya upaya mendapatkan tumbuhan tersebut sebagai rawatan alternatif.
.
Kami berdoa semoga kesihatan mbok akan bertambah baik. Amin.

Cikgu Ramli

Pada 27 Mac 2009, selepas Solat Jumaat, saya terpandang kelibat seseorang yang saya kenali, Cikgu Ramli. Beliau merupakan guru Bahasa Malaysia dan Lukisan pada tahun 1988 (ketika di tingkatan 2, SEMESTI). Beliau merupakan seorang guru yang baik dan disayangi oleh murid-muridnya (termasuk saya).
.
Saya menyapa beliau dan ternyata beliau masih seperti dulu, peramah dan mudah mesra. Sekarang beliau bekerja sebagai pegawai di Kementerian Pelajaran. Telah hampir 20 tahun tidak bertemu beliau, ternyata susuk tubuh beliau masih seperti dulu.

Ahad, 22 Mac 2009

Hari Keluarga UiTM Perak Mac 2009








Hari Keluarga UiTM Perak diadakan pada 20 - 21 Mac 2009. Pada 20 Mac, 3 ekor lembu disembelih dan pada malamnya diadakan sukan (bola tampar dan futsal) dan jamuan sup lembu.

Wardah dan saya mengambil bahagian dalam permainan tersebut. Kumpulan Wardah berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan bola tampar.

Pada 21 Mac 2009 sukaneka diadakan. Kami sekeluarga memasuki beberapa acara (Lari berkasut Phua Chu Kang, Anyam Ketupat, Pertandingan Mewarna dll). Sarah berjaya mendapat tempat kedua dalam acara mencari kasut.

Ahad, 15 Mac 2009

Majlis akad nikah Nurul Hafizah (anak Alang)




Semalam (14 Mac 2009), Nurul Hafizah Ahmad Zakri selamat diijab kabulkan dengan suaminya (Mohd Fahmi Naim Abdullah) selepas Asar (5:30 petang). Kami sekeluarga menghadiri majlis tersebut.

Semoga mereka berdua kekal sebagai suami isteri hingga ke akhir hayat. Amin.
.
Tahniah buat Alang.

Rabu, 11 Mac 2009

Hutang

Saya ada seorang rakan dan kami agak akrab. Saya mula mengenali dia ketika sama-sama belajar di ITM Perlis. Satu tabiatnya yang negatif, suka lambat bayar hutang,
.
Dia pernah meminjam sebanyak RM15 ketika di ITM Perlis, dan mengambil masa satu semester (6 bulan) untuk melunaskan hutang tersebut. Saya bukan dari keluarga yang senang. Ibu saya memberi wang saku sebanyak RM30 sebulan semasa menuntut di ITM Perlis. (RM15 merupakan 50% dari wang saku saya sebulan.)
.
Pada tahun 1999, saya berhenti kerja dan mendapat sejumlah wang pampasan (RM6,000 ++). Pada ketika itu rakan saya tersebut sedang menuntut di ITM Shah Alam di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Dia meminta RM200 sebagai pinjaman. Berdasarkan pengalaman lepas saya agak keberatan untuk memberi wang tersebut.
.
"Alah, itu pun kedekut. Nanti aku dapat biasiswa aku bayar la.". Oleh kerana janji ini saya beri wang tersebut. Namun saya terkilan kerana wang tersebut digunakan untuk dia ber"suka-ria". Saya menganggur agak lama, lebih kurang 6 bulan. Selepas dia mendapat biasiswa, hutang saya tetap tidak dilunaskan dengan alasan dia perlukan duit tersebut untuk tujuan pembelajarannya.
.
Saya mengingatkan dia beberapa kali selepas itu. Dan yang terakhir 2 tahun lepas melalui emel (saya turut memberi no. akaun bank saya) dan dia berjanji akan membayarnya. RM200 tidaklah begitu signifikan berbanding persahabatan saya dengannya, cuma saya amat terkilan dengan sikap sambil lewanya dalam membayar hutang. Sehingga entri ini, hutang tersebut masih belum dibayar. Dan saya mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dari dia.

Selasa, 10 Mac 2009

SMS

Saya mendapat SMS berikut (dari nombor yang tidak saya kenali):
.
"I may seldom tell U how special U R 2 me. I may not be able 2 reach U coz we're both busy but inspite of all U will always be someone I care.. Tc miz U. =)"
.
Saya teringat satu peristiwa di mana salah seorang rakan sekerja saya tersalah SMS kepada saya (sepatutnya SMS tersebut ditujukan kepada suaminya tetapi tersalah hantar), bila saya menelefon kembali dia menjelaskan perkara sebenarnya.
.
Dalam kes ini saya membuat keputusan untuk tidak memanggil pengirim SMS tersebut kerana saya tidak mengenali penghantarnya. Saya menganggap ianya suatu kesilapan. Wardah ingin membalas SMS tersebut tetapi saya menghalangnya dari berbuat demikian. Seandainya SMS ini berlarutan baru saya akan mengambil tindakan seterusnya.
.
Macam-macam........

Nasihat kepada pelajar saya

Saya menasihati anak murid saya supaya tidak menjual apatahlagi membuang buku-buku teks berkaitan dengan perakaunan. Saya menekankan kepentingan ilmu dan kegunaan buku tersebut di masa hadapan. Saya memberi contoh di mana salah seorang bekas pelajar saya menelefon saya bertanyakan masalah perakaunan akibat ketiadaan buku rujukan (kerana buku-buku teks tersebut diwariskan kepada "junior-junior"nya).
.
Tiba-tiba seorang pelajar bertanya
"Encik Zool simpan ke buku-buku En Zool masa Diploma dulu?".
.
Saya menjawab,
"Tak. Saya bagi kat "ex-awek" saya. Tapi last-last kawin dengan orang lain. Hmm awak semua ni jangan bercinta bagai nak gila masa belajar ni. Buang karan je. Bla, bla, bla, bla..........".
.
Dan bebelan itu berterusan.

Isnin, 9 Mac 2009

Program Pembangunan Pelajar Modul 4 (Kenegaraan)







Saya menjadi fasilitator untuk Program Pembangunan Pelajar (PPP) UiTM Perak. Pada awalnya saya hanya terlibat untuk modul 5, persiapan pelajar menghadapi pekerjaan (bagaimana hendak menghadapi temuduga, mencari pekerjaan dan sebagainya).

Semester saya juga turut terlibat PPP modul 4 (Kenegaraan), menerapkan semangat patriotisme kepada pelajar-pelajar. Menarik tetapi panas.

Ahad, 8 Mac 2009

Terharu


Sebagai pendidik, saya tidak mengharapkan apa-apa dari anak didik. Cukup sekadar ilmu yang saya sampaikan difahami dan digunakan ke arah yang baik.

Saya sedaya-upaya cuba untuk berlaku saksama kepada semua pelajar saya dan tidak memilih pelajar atau berat sebelah (walaupun pada hakikatnya di dalam hati saya ada pelajar yang menjadi pelajar yang saya "suka" terutamanya mereka yang berada di barisan hadapan kelas).

Namun acap kali penghargaan atau ucapan terima kasih saya terima dari pelajar yang bukan dari golongan pelajar tersebut. Mungkin saya telah berjaya berlaku saksama kepada pelajar-pelajar saya.
Wallahhua'lam.

Semalam, semasa Malam Kecemerlangan Fakulti Perakaunan, saya menerima sekuntum bunga dari seorang pelajar tahun akhir dengan ungkapan berikut.

"Bringing a special Thank You as sincere as can be; It sure was nice of you to be so nice to me".

Saya begitu terharu kerana pelajar ini bukanlah pelajar yang saya beri tumpuan di dalam kelas kerana beliau merupakan pelajar yang cerdik. (Saya lebih suka menumpukan perhatian kepada pelajar yang sederhana dan yang lemah).
Saya mendoakan semoga pelajar-pelajar saya ini berjaya di dunia mahupun di akhirat. Amin.

Hari Keluarga Fakulti Perakaunan
















Hari Keluarga Fakulti Perakaunan di Cinta Sayang Golf & Country Club


7 - 8 Februari 2009

Facebook

Semenjak menggunakan "facebook" saya semakin kurang rajin mengemaskinikan blog. Hmmmm.. ternyata "facebook" jauh lebih efektif dari segi komunikasi dan untuk meletakkan koleksi gambar kenangan saya.
.
Saya masih akan terus menggunakan blog ini sebagai sumber storan kedua saya.