Saya ada seorang rakan dan kami agak akrab. Saya mula mengenali dia ketika sama-sama belajar di ITM Perlis. Satu tabiatnya yang negatif, suka lambat bayar hutang,
.
Dia pernah meminjam sebanyak RM15 ketika di ITM Perlis, dan mengambil masa satu semester (6 bulan) untuk melunaskan hutang tersebut. Saya bukan dari keluarga yang senang. Ibu saya memberi wang saku sebanyak RM30 sebulan semasa menuntut di ITM Perlis. (RM15 merupakan 50% dari wang saku saya sebulan.)
.
Pada tahun 1999, saya berhenti kerja dan mendapat sejumlah wang pampasan (RM6,000 ++). Pada ketika itu rakan saya tersebut sedang menuntut di ITM Shah Alam di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Dia meminta RM200 sebagai pinjaman. Berdasarkan pengalaman lepas saya agak keberatan untuk memberi wang tersebut.
.
"Alah, itu pun kedekut. Nanti aku dapat biasiswa aku bayar la.". Oleh kerana janji ini saya beri wang tersebut. Namun saya terkilan kerana wang tersebut digunakan untuk dia ber"suka-ria". Saya menganggur agak lama, lebih kurang 6 bulan. Selepas dia mendapat biasiswa, hutang saya tetap tidak dilunaskan dengan alasan dia perlukan duit tersebut untuk tujuan pembelajarannya.
.
Saya mengingatkan dia beberapa kali selepas itu. Dan yang terakhir 2 tahun lepas melalui emel (saya turut memberi no. akaun bank saya) dan dia berjanji akan membayarnya. RM200 tidaklah begitu signifikan berbanding persahabatan saya dengannya, cuma saya amat terkilan dengan sikap sambil lewanya dalam membayar hutang. Sehingga entri ini, hutang tersebut masih belum dibayar. Dan saya mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dari dia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan