Melalui blog ini saya ingin berkongsi cerita, pengalaman dan maklumat. Sekadar catatan biasa.....
Ahad, 27 September 2009
Menu istimewa untuk tetamu istimewa
4 & 5 Syawal
Kami sekeluarga pulang ke Seri Iskandar awal pagi kerana singgah beraya di rumah Mak Saudara di Teluk Intan (Nyah Mon). Lebih kurang tengahari kami sampai di Seri Iskandar dan mendapat panggilan dari Huda (adik saya) yang menyatakan hasrat untuk beraya pada petang tersebut. Abang Teh (abang saya) dan Yeop (sepupu saya) akan turut serta (2 buah kereta dan sebuah MPV). Kami dengan segera mereka juadah yang sesuai.
Kemudian kami menerima satu lagi panggilan dari Udi (anak Allahyarham Abang Sapuan, abang ipar saya) yang nak singgah beraya malamnya. Udi dari Pulau Pinang beraya di rumah adik-beradik suaminya. Abang Hamdan dan anak-anaknya dari Ipoh ingin turut serta kerana Udi tak sempat nak beraya di Ipoh di rumah abang Hamdan (1 kereta dan 1 MPV). Menu apa yang sesuai?
Bihun Tom Yam, nasi putih, telur dadar, kuih raya, air sirap dan teh panas. Abang Hamdan turut membawa bekalan makanan tambahan (mi rebus ramli (terkenal di ipoh), roti nan, capati, keropok lekor dan sebagainya). Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar seperti dirancangkan.
5 Syawal
Malam 4 Syawal, Siti (adik saya) menyatakan hasrat untuk beraya di rumah kami. Siti beraya di Kedah (rumah mertuanya). Sebelum ke rumah saya Siti nak berya di rumah Andak (abang saya) di Siputeh (14 km dari rumah saya). Saya terus menelefon Andak mengajaknya untuk datang ke rumah saya bersama-sama Siti. Saya sekeluarga mengambil kesempatan untuk beraya di rumah Andak bersama-sama Siti. Menu: Bihun Goreng Udang, Nugget Dragon Ball, Nugget Tempura, kuih raya dan air sirap.
Budaya ziarah-menziarahi ini merapatkan lagi ikatan kekeluargaan kami. Saya berdoa semoga ianya akan berterusan. Amin
Khamis, 24 September 2009
Hari Raya ketiga di rumah Mbok
Pada Hari Raya ketiga, saya sekeluarga menghadiri Majlis Sua Raya Aidilfitri (Form 6 Sek Men Khir Johari Sg Sumun 92-93). Buat pertama kalinya tugas ini digalas oleh anak anak-anak buah kami (anak Abang Azam), Abang Hamdan selaku chef utama dan dibantu oleh Kak Munah (isteri Abang Hamdan).
Abang Hamdan memuji kecekapan mereka di dapur (memasak dalam kuantiti yang banyak bukan kerja yang mudah). Kepada Amy, Idah, Iqoh dan Ipah terima kasih daun keladi. Tahun depan Insya-Allah kita akan bergotong royong lagi.
Memang ianya memenatkan tetapi kami puas hati. Menyampaikan hajat Mbok dan tetamu pulang dengan senang hati.
Khamis, 17 September 2009
Selasa, 15 September 2009
Ahad, 13 September 2009
Sabtu, 12 September 2009
Al-Quran
..... untuk menjadi hiasan dinding di kedai-kedai mahupun rumah-rumah
..... hanya untuk dibaca ketika majlis tahlil dan kematian
..... hanya untuk menghalau jin/ syaitan yang menghuni jasad manusia
..... untuk dilagukan dan dipertandingkan tarannumnya
..... untuk dijadikan seni untuk ditatap keindahan dalam khatnya
Al-Quran merupakan kalam (perkataan) Allah, perkataan yang paling benar tanpa keraguan walau sebesar hama sekalipun.
"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?"
(An-Nisaa 87)
"Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?"
(An-Nisaa 122)
Al-Quran merupakan rahmat (petunjuk dan kasih sayang) bagi orang-orang yang bertaqwa.
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman"
Al-Quran sebagai ubat dan penenang hati
"Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua"
(Al-Israa' 82)
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman"
(Yunus 57)
Al-Quran merangkumi segalanya
"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)"
(Al-An'am 38)
Al-Quran mencakup hukum (halal dan haram), kisah, berita ghaib, nasihat-nasihat, perumpamaan-perumpaan, bahkan mencakup kaedah-kaedah ilmiyah yang tetap (pasti).
"Dan Kami turunkan kepadamu Muhammad Kitab (Al-Quran) sebagai penjelas segala sesuatu"(An-Nahl 89)
Ini hanyalah sebahagian keutamaan Al-Quran. Banyak lagi keutamaan-keutamaan lain yang belum teruraikan dan tidak cukup untuk dirungkai atau dihuraikan di ruangan ini.
Wallahhua'lam
Sumber: Ceramah Agama di Radio Perak (6:30pm) dan http://sayyidulayyaam.blogspot.com/
Jumaat, 11 September 2009
Kad Raya dari Maiyah
Khamis, 10 September 2009
Tulisan Tangan - Didi Kempot (Dendang Perantau versi Jawa)
Rabu, 9 September 2009
Takbur, hasad, dan riak
Imam al-Ghazali dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' berkata, takbur akan menjadi batas pemisah antara seseorang dengan kemuliaan akhlak. Orang takbur akan selalu mendustakan kebenaran, menganggap rendah orang lain dan meninggikan dirinya. Sedikit saja di hati ada sikap takbur, maka syurga akan menjauh, amalan tidak mempunyai erti.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sikap takbur walaupun sebesar debu.”
(Hadis riwayat Muslim)
Kedua, hasad atau iri hati (dengki). Ciri khas seorang pendengki adalah adanya rasa tidak rela melihat orang lain mendapat nikmat dan sangat berharap nikmat itu segera lenyap daripadanya. Ia susah melihat orang lain senang dan senang melihat orang lain susah. Dengki sangat berkesan menghancurkan kebaikan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dengki itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Ketiga, riak atau beramal kerana mengharap pujian orang lain. Riak adalah tingkatan terendah daripada amalan. Rasulullah SAW menyebutnya syirik kecil yang juga boleh menghapuskan kebaikan.
Allah tidak akan menerima suatu amalan yang dalamnya ada seberat debu saja perasaan riak. Hadis qudsi mengungkapkan bagaimana murkanya Allah kepada orang yang riak dalam amalannya.
Pada hari kiamat Allah berfirman, ketika semua manusia melihat catatan amalannya, “Pergilah kamu semua kepada apa yang kamu jadikan harapan (riak) di dunia. Lihatlah apakah kamu semua memperoleh balasan daripada mereka.”
(Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Firman Allah yang bermaksud: “Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat (iaitu) orang yang lalai dari solatnya dan orang berbuat riak.”
(Surah al-Maa'um, ayat 4 - 6)
Sumber: http://ainul-basyirah.blogspot.com
Hukuman Sebat (Cara Islam vs Cara Sivil)
Maklumat Ringkas:
SEBAT CARA ISLAM
1. Panjang rotan tidak lebih 1.22 meter , tebal tidak lebih 1.25 sm
2. Jika pesalah hamil, hukuman dilaksanakan selepas 2 bulan melahirkan anak.
3. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
4. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk.
5. Sebatan dengan kekuatan sederhana.
6. Tukang sebat tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala.
7. Tidak melukakan kulit pesalah.
1. Rotan yang digunakan terdiri daripada berbagai-bagai saiz.
2. Pesalah akan ditanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian cawat.
3. Pakaian cawat hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja.
4. Bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat.
5. Pesalah akan dibaringkan secara berdiri pada patung yang dikhaskan dan diikat kedua kaki dan tangan.
6. Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara terus.
7. Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara sentapan.
8. Sebatan dengan cara sentapan lebih menyakitkan kerana pesalah dapat merasakan cebisan kulit tersentap keluar.
Biasanya, sebatan secara sivil meninggalkan kesan yang kekal kepada pesalah dan pesalah akan terkencing dana ada kes hingga terkeluar najis.
Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (pindaan 1987) sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.
Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW....
Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.
Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.
Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.
Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.
Sumber: olahan semula emel dari seorang kawan.
Ahad, 6 September 2009
Kisah di zaman Nabi Musa AS
Sabtu, 5 September 2009
Istiqamah
Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan; ‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.; ‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah’. (Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Untuk lebih memahami makna Istiqamah, di bawah ini saya kemukakan ulasan ulamak tentang hadis di atas;
1. Berkata al-Qadhi ‘Iyadh rhm; ‘Hadis ini antara ungkapan yang ringkas dan padat (Jawami’ul Kalim) dari Rasulullah s.a.w.. Sesungguhnya orang-orang yang berkata; Tuhan kami adalah Allah dan kemudian mereka beristiqamah di mana mereka tidak berpaling dari tauhid dan berterusan pula mereka beriltizam menta’ati Allah S.W.T. hinggalah mereka menemui kematian di atas iman dan istiqamah tersebut’. Jadi Istiqamah menurut Qadhi ‘Iyadh ini ialah; tetap teguh di atas landasan tauhid dan mentaati Allah hingga menemui ajal. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 2, kitab al-Iman)
2. Menurut Imam al-Minawi dalam kitabnya “Faidhul Qadir”; seruan Rasulullah s.a.w. ‘Katakanlah; Aku beriman dengan Allah’, bermaksud; perbaharuilah iman kamu kepada Allah dengan menyebutnya dengan hati kamu serta menuturnya dengan lidah kamu dengan menghadirkan segala pengertian iman yang disyari’atkan. Adapun seruan baginda; ‘hendaklah kamu beristiqamah’ bermaksud; beriltizamlah mengerjakan amalan-amalan ketaatan dan menjauhi perkara-perkara yang bertentangan (dengan kehendak Allah). Jadi Istiqamah mengikut pandangan Imam al-Minawi ini ialah; kita sentiasa taat kepada Allah dan menjauhi larangan-laranganNya. (Faidhul-Qadier, hadis no. 6143).
Untuk terhasilnya Istiqamah seseorang itu tidak dapat tidak mestilah berpegang-teguh dengan kitab Allah dan sunnah NabiNya. Dua sumber inilah yang berupaya mengikat manusia agar sentiasa berada di atas Islam iaitu jalan Tauhid dan ketaaatan kepada Allah. Selagi manusia berpegang teguh dengan al-Quran dan juga sunnah Nabi, selagi itulah ia dijamin oleh Rasulullah s.a.w. akan bebas dari penyelewengan dan kesesatan sebagaimana sabdanya; “Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sekelian satu peninggalan yang selagi kamu berpegang-teguh dengannya maka selagi itulah kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas)
Dr Hamzah Ya’qub dalam bukunya "Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin", menyimpulkan istiqamah ini kepada tiga tahap iaitu istiqamah dengan hati, lisan dan perbuatan.
Istiqamah dengan hati bermaksud teguh iman dan mencegah sifat mazmumah. Mereka yang memiliki iman teguh tidak mudah tergoda, terpengaruh dan rebah kepada godaan. Oleh itu, setiap tindak-tanduknya adalah mencerminkan hati yang suci.
Istiqamah dengan lisan ialah sentiasa memelihara tutur kata supaya ikhlas dan benar. Apa yang diucapkan itu mengikut landasan agama dan bukan atas kehendak nafsu.
Firman Allah yang bermaksud: “Allah menetapkan orang beriman dengan perkataan yang tetap dalam penghidupan dunia dan akhirat.” (Surah Ibrahim, ayat 27)
Akhir sekali, istiqamah dengan perbuatan iaitu tekun dalam bekerja, berusaha, berjuang, tidak jemu berusaha, tidak kecewa, cemas dan takut apabila jatuh sebaliknya terus saja berjuang sehingga berjaya.
Ketiga-tiga tingkatan tadi, tidak boleh tidak, wajib dimiliki setiap orang yang beriman kerana ia adalah salah satu antara ciri orang mukmin yang akan membuahkan keuntungan dan kemenangan di dunia serta akhirat. Allah memberi khabar gembira kepada orang istiqamah melalui firman yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang mengakui Allah Tuhan kami, kemudian berlaku lurus (istiqamah) akan turun malaikat kepadanya untuk menghibur dengan kata-kata: Jangan takut dan jangan berduka cita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepadamu.” - (Surah Fushshilat, ayat 30)
Sumber:
http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/istiqamah-yang-sebenar.html
Suara Annur Edisi Februari 2009 (Universiti Teknologi Petronas)
Khamis, 3 September 2009
Antara Fadhilat dan Syarat
Menjelang Ramadhan umat Islam berlumba-lumba melakukan amal ibadah tambahan. Seorang artis yang sedag sibuk dengan program sedekahnya berkata, dalam bulan Ramadhan nilah mereka nak buat amal ibadah untuk mendapat pahala tambahan untuk menampung dosa/ maksiat yang telah mereka lakukan sebelumnya.
Artis tersebut hanya nampak fadhilat tetapi mungkin terlepas pandang syaratnya. Apa dia fadhilat dan apa dia syarat?
Seorang kawan mahu memberi RM10 kepada anda sekiranya anda membantunya menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarahnya.
Fadhilat = RM10.
Syarat = siapkan tugasan tersebut.
Ramadhan menjanjikan seribu rahmat, ganjaran pahala, makbul permintaan (doa) dan barakah. Semua ini merupakan antara fadhilat Ramadhan. Apa syaratnya? Kita mesti melakukan ibadah puasa dengan kesabaran dan ketaqwaan.
Begitu juga dalam mengerjakan Haji. Banyak ganjaran pahala yang dijanjikan (fadhilat) sekiranya kita melakukan haji yang mabrur (syarat).
Di bulan Ramadhan, umat Islam berlumba-lumba memenuhi masjid, melakukan ibadah tambahan (solat tarawih), menderma/ bersedekah (hingga sesetengah rumah anak-anak yatim terpaksa menolak derma dalam bentuk makanan) dan pelbagai lagi. Ya, ia satu amalan yang mulia tapi kebanyakannya hangat-hangat tahi ayam. Lepas sejuk jadi hangit.
Perkara di atas berlaku di awal Ramadhan, menjelang separuh Ramadhan, bila lagu "dendang perantau" berkumandang di Radio, tumpuan mereka lebih terarah untuk menyambut Aidilfitri. Solat Tarawih pada awal Ramadhan melebihi 10 saf, tinggal 1.5 saf. Mereka terlupa "Lailatul Qadar" di akhir Ramadhan yang pahalanya menyamai 1,000 bulan beribadah. Alangkah ruginya.
Syeikh Yusuf al-Qardhawi ada berkata jangan jadi hamba Ramadhan, sebaliknya jadi hamba Allah. Kenapa? Di bulan Ramadhan ramai umat Islam meningkatkan amal ibadah (solat sunat, bersedekah, bertadarus Al-Quran, menutup aurat, menjaga peri laku dan sebagainya). Tetapi sebaik saja Syawal menjelma, segala amal ibadah tambahan tadi terus ditinggalkan. Tiada lagi solat sunat, sedekah, tadarus Al-Quran, aurat kembali terdedah dan sebagainya. Seolah-olah mereka melakukan ibadah kerana Ramadhan, bukan kerana Allah.
Tujuan saya menulis entri ini untuk mengingatkan pembaca entri ini khususnya saya diri sendiri. Jadikanlah Ramadhan kali ini titik untuk kita berhijrah. Perubahan yang kita lakukan semasa Ramadhan ini kita teruskan ke bulan-bulan mendatang. Jika kita semakin kerap bersolat jemaah di bulan Ramadhan, membaca Al-Quran, bersedekah, teruskan jangan berhenti.
Semoga di Ramadhan akan datang (dengan keizinan Allah) kita akan menjadi insan yang lebih baik.
Wallahhua'lam
Selasa, 1 September 2009
Taqwa
Pengertian taqwa
Taqwa berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang ertinya memelihara. Hujahnya ialah ayat Al Quran seperti berikut:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka.” (At Tahrim: 6)
Di dalam Al Quran, kerap Tuhan menyeru dengan kalimah ittaqu atau yattaqi. Di mana ada tambahan huruf pada asal kalimah waqa, ia membawa perubahan kepada makna. Di sini ittaqullah membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pembenteng/pelindung. Iaitu hendaklah jadikan Tuhan itu pelindung. Jadikan Tuhan itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng Tuhan, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Atau jadikan Tuhan itu dinding dari kejahatan.
Menurut Imam Ar-Raghib Al-Asfahani definisinya "Taqwa yaitu menjaga jiwa dan perbuatan yang membuatnya berdosa, dan itu dengan meninggalkan apa yang dilarang, dan menjadi sempurna dengan meninggalkan sebahagian yang dihalalkan.
Menurut Imam An-Nawawi definisinya "Taqwa yaitu dengan mentaati perintah dan laranganNya" maksudnya menjaga diri dari kemurkaan dan azab Allah Subhanahuwa Ta'ala
1. Taqwa Termasuk kunci rezeki (At-Thalaq : 2-3) Barang siapa bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan mengadakan jalan keluar baginya dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
2. (Al-A'raf : 96) Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka sendiri.
3. (Al-Maidah : 66) Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat, Injil dan (Al-Qur'an) yang diturunkan kepada mereka dari Tuhannya, niscaya mereka mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Di antara mereka ada golongan yang pertengahan. Dan alangkah buruknya apa yang dikerjakan oleh kebanyakan mereka.
Taqwa bukan setakat melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan. Bukan setakat menunai ketaatan dan menjauhkan kemaksiatan. Bukan setakat membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Bukan juga setakat meninggalkan apa yang haram dan menunaikan apa yang fardhu.
Bukan setakat menjauhkan yang syirik dengan beramal dan taat kepada Allah. Bukan setakat menjauhkan diri dari segala apa yang akan menjauhkan diri kita daripada Allah. Bukan setakat menghadkan diri kepada yang halal sahaja.
Wallahhua'lam
Sumber:
http://halaqah.net
http://banisamsuri.com
Wasiat Rasullullah SAW
Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi. al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.
Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata:
Rasulullah SAW telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata. Kami berkata: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat tinggal, maka berikanlah kami wasiat. Baginda bersabda: Aku mewasiatkan kamu supaya bertaqwa kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, necaya dia akan melihat banyak perselisihan. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah khulafa' Rasyidin yang mendapat hidayat. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bid'ah dan setiap bid'ah itu adalah sesat dan setiap kesesatan itu dalam neraka.
Pengajaran hadis:
(2) Rasulullah SAW berwasiat dalam hadis ini beberapa perkara penting, antaranya; supaya bertaqwa kepada Allah SWT, patuh dan taat kepada pemerintah biarpun dia adalah orang yang berasal dari keturunan bawahan atau hamba 'abdi, kerana yang penting apa yang diperintahkan, bukan orang yang memerintah.
(3) Masalah melantik hamba abdi menjadi ketua masih diperselisihkan oleh para ulama, namun Rasulullah SAW menyebut hal ini bagi menunjukkan peri pentingnya tuntutan patuh dan taat bagi seorang mukmin terhadap ketuanya selagimana perintahnya tidak bertentangan dengan syara'.
(4) Umat akhir zaman diancam oleh perselisihan dan perpecahan. Justeru itu Nabi SAW berpesan agar umat Baginda berpegang teguh dengan sunnah Baginda SAW dan sunnah para khulafa' Rasyidin. Baginda menyeru mereka agar menggigit sunnah-sunnah tersebut. Ungkapan ini memberi erti betapa perlunya berpegang teguh dengan sunnah Nabi dan Khulafa' Rasyidin serta menjauhkan perkara bid'ah yang sesat, perkara yang diada-adakan dalam agama kerana semua bid'ah adalah kesesatan yang akhirnya membawa pengamalnya ke lembah neraka.
sumber: halaqah-online