Sabtu, 5 September 2009

Istiqamah


Secara dasarnya Istiqamah bermaksud; berdiri teguh di atas jalan Islam dalam segenap ruang kehidupan sama ada dari sudut aqidah dan pegangan, amalan, pandangan hidup, perjuangan dan sebagainya iaitu tidak akan berganjak sedikitpun dari jalan tersebut walaupun terdapat pelbagai godaan dan rintangan.

Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan; ‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.; ‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah’. (Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Untuk lebih memahami makna Istiqamah, di bawah ini saya kemukakan ulasan ulamak tentang hadis di atas;

1. Berkata al-Qadhi ‘Iyadh rhm; ‘Hadis ini antara ungkapan yang ringkas dan padat (Jawami’ul Kalim) dari Rasulullah s.a.w.. Sesungguhnya orang-orang yang berkata; Tuhan kami adalah Allah dan kemudian mereka beristiqamah di mana mereka tidak berpaling dari tauhid dan berterusan pula mereka beriltizam menta’ati Allah S.W.T. hinggalah mereka menemui kematian di atas iman dan istiqamah tersebut’. Jadi Istiqamah menurut Qadhi ‘Iyadh ini ialah; tetap teguh di atas landasan tauhid dan mentaati Allah hingga menemui ajal. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 2, kitab al-Iman)

2. Menurut Imam al-Minawi dalam kitabnya “Faidhul Qadir”; seruan Rasulullah s.a.w. ‘Katakanlah; Aku beriman dengan Allah’, bermaksud; perbaharuilah iman kamu kepada Allah dengan menyebutnya dengan hati kamu serta menuturnya dengan lidah kamu dengan menghadirkan segala pengertian iman yang disyari’atkan. Adapun seruan baginda; ‘hendaklah kamu beristiqamah’ bermaksud; beriltizamlah mengerjakan amalan-amalan ketaatan dan menjauhi perkara-perkara yang bertentangan (dengan kehendak Allah). Jadi Istiqamah mengikut pandangan Imam al-Minawi ini ialah; kita sentiasa taat kepada Allah dan menjauhi larangan-laranganNya. (Faidhul-Qadier, hadis no. 6143).

Untuk terhasilnya Istiqamah seseorang itu tidak dapat tidak mestilah berpegang-teguh dengan kitab Allah dan sunnah NabiNya. Dua sumber inilah yang berupaya mengikat manusia agar sentiasa berada di atas Islam iaitu jalan Tauhid dan ketaaatan kepada Allah. Selagi manusia berpegang teguh dengan al-Quran dan juga sunnah Nabi, selagi itulah ia dijamin oleh Rasulullah s.a.w. akan bebas dari penyelewengan dan kesesatan sebagaimana sabdanya; “Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sekelian satu peninggalan yang selagi kamu berpegang-teguh dengannya maka selagi itulah kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas)

Dr Hamzah Ya’qub dalam bukunya "Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin", menyimpulkan istiqamah ini kepada tiga tahap iaitu istiqamah dengan hati, lisan dan perbuatan.

Istiqamah dengan hati bermaksud teguh iman dan mencegah sifat mazmumah. Mereka yang memiliki iman teguh tidak mudah tergoda, terpengaruh dan rebah kepada godaan. Oleh itu, setiap tindak-tanduknya adalah mencerminkan hati yang suci.

Istiqamah dengan lisan ialah sentiasa memelihara tutur kata supaya ikhlas dan benar. Apa yang diucapkan itu mengikut landasan agama dan bukan atas kehendak nafsu.
Firman Allah yang bermaksud: “Allah menetapkan orang beriman dengan perkataan yang tetap dalam penghidupan dunia dan akhirat.” (Surah Ibrahim, ayat 27)

Akhir sekali, istiqamah dengan perbuatan iaitu tekun dalam bekerja, berusaha, berjuang, tidak jemu berusaha, tidak kecewa, cemas dan takut apabila jatuh sebaliknya terus saja berjuang sehingga berjaya.

Ketiga-tiga tingkatan tadi, tidak boleh tidak, wajib dimiliki setiap orang yang beriman kerana ia adalah salah satu antara ciri orang mukmin yang akan membuahkan keuntungan dan kemenangan di dunia serta akhirat. Allah memberi khabar gembira kepada orang istiqamah melalui firman yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang mengakui Allah Tuhan kami, kemudian berlaku lurus (istiqamah) akan turun malaikat kepadanya untuk menghibur dengan kata-kata: Jangan takut dan jangan berduka cita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepadamu.” - (Surah Fushshilat, ayat 30)

Sumber:
http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/istiqamah-yang-sebenar.html
Suara Annur Edisi Februari 2009 (Universiti Teknologi Petronas)

5 ulasan:

Maiyah berkata...

salam.. istiqamah merangkumi setiap aspek dalam kehidupan, suma pun penting dan sy sentiasa cuba mencari tahap istiqamah yg penuh ikhlas

Guru berkata...

assalammualaikum

istiqamah ni perlu praktis ya...
terutam istiqamah perbuatan, sebab sering malas nak buat kerja

Hanisham Ab Halim berkata...

Kebanyakkn kita terlalu susah nak terus beristiqomah. Kebanyakkannya semangat sekejap je. Pastu LAYU...

ZOOL@TOD berkata...

Jadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dalam kehidupan seharian. Tingkatkan keimanan dan ketaqwaan. Istiqamh akan hadir dengan sendirinya.

Wallahhua'lam

Alimaz-Kembara Terasing berkata...

salam ...sama lah kita beristiqomah...semoga kita dijauhi dari kesesatan...amin...