Salam Aidiladha buat semua.
Tahun ini kami menyambut Aidiladha di rumah kami di Seri Iskandar. Saya masih tidak kuat untuk memandu jarak jauh. Saya masih belum mampu melakukan kerja-kerja yang berat seperti mengangkat bebanan (Nak dukung Amniy pun masih tak mampu).
Kesannya Wardah terpaksa melakukan kesemua tugasan di rumah secara solo (biasanya saya turut membantu membereskan tugasan harian di rumah kerana Amniy masih kecil dan memerlukan perhatian yang lebih dari ibunya). Wardah kepenatan dan beberapa hari sudah (mungkin telah sampai kepenatan yang maksimum) dia demam dan sakit-sakit urat. Alhamdulillah, dua hari lepas selepas berurut kesihatannya bertambah baik.
Sebenarnya Wardah terlalu keletihan, bermula dari saya mula dimasukkan ke Hospital Ipoh pada 16/10/2009 hingga ke hari ini, Wardah masih lagi ligat menguruskan urusan seharian dan ditambah dengan menguruskan diri saya (terutamanya semasa di hospital).
Terlalu banyak pengorbanan yang Wardah lakukan untuk saya. Pengorbanan seorang isteri buat suaminya. Dan saya amat menghargai pengorbanan tersebut.